Kenyataan Media

PETUGAS KEMANUSIAAN JADI SASARAN SERANGAN DI SYRIA

 

IDLIB (Syria) 21 Ogos – Memasuki pekarangan premis pertubuhan sukarela White Helmets di Bab al Hawa suasananya seperti bengkel besi buruk dengan kenderaan termasuk ambulans yang remuk tersadai di sana-sini.

 

Semua kenderaan itu bukannya rosak akibat kemalangan, tetapi menjadi sasaran serangan tentera ketika menjalankan kerja-kerja bantuan di utara Syria yang menempatkan hampir empat juta pelarian perang.

 

Timbalan Pengarah White Helmets, Munier Mustafa memaklumkan petugas-petugas sukarela dan bantuan kemanusiaan juga tidak terlepas daripada sasaran serangan dalam krisis di Syria.

 

Semua mereka terdedah kepada bahaya serangan terutama serangan oleh pesawat tentera.

 

Katanya, White Helmets diwujudkan untuk membantu mangsa-mangsa perang di Syria termasuk membaiki kemudahahan-kemudahan asas yang rosak.

 

Selain ambulans untuk membawa mangsa yang cedera mendapatkan rawatan, White Helmets juga memiliki kemudahan seperti jentolak, lori mengangkut tanah dan beberapa kenderaan lain yang digunakan untuk membaiki jalan-jalan yang rosak akibat dibom.

 

Menurut Munier, selain membantu mereka yang cedera, White Helmets akan memastikan kemudahan awam yang rosak akibat perang dibaiki.

 

Namun usaha itu katanya, menjadi lebih sukar kerana turut menjadi sasaran serangan pihak rejim hingga menyebabkan jentera yang ada rosak.

 

“Di sempadan Turki ini terdapat hampir empat juta pelarian yang hidup tanpa kemudahan asas. Kami cuba menyediakan yang terbaik mungkin untuk mereka terutama membiaki kemudahan-kemudahan yang rosak dan sebagainya.

 

Munier memberitahu, melalui kemudahan yang ada mereka membantu menyediakan khemah-khemah untuk pelarian termasuk kemudahan asas yang diperlukan mereka seperti bekalan air dan jalan.

 

Kini, mereka berhadapan dengan kesukaran kerana sebahagian besar peralatan dan kenderaan rosak akibat dibom.

 

Katanya, situasi pelarian Syria semakin meruncing sekarang kerana setiap hari jumlah mereka bertambah dan sudah tentu turut menambah masalah baharu.

 

“Masalah pelarian yang dahulu belum selesai, kini pelarian baharu pula tiba yang menjadikan keadaan khemah-khemah pelarian di utara Syria bersempadan dengan Turki ini sangat teruk.

 

“Mereka ini tidak ada sumber dan memerlukan bantuan terutama menjelang musim sejuk pada hujung tahun ini,” katanya.

 

Sumber: Utusan Malaysia