Info Semasa

Perang Gaza lebih buruk daripada pengeboman Dresden pada 1945

Pengeboman Israel selama tujuh bulan ke atas Gaza menyaksikan lebih banyak kemusnahan berbanding pengeboman kontroversi bandar Dresden di Jerman menjelang akhir Perang Dunia Kedua.

Menurut penganalisis imej satelit yang dipetik dalam laporan Berita Harian, hampir 75 peratus bangunan di Gaza City rosak atau musnah, lima hospital musnah sepenuhnya, kurang satu daripada tiga hospital boleh menjalankan sebahagian operasinya, selain 408 daripada 563 sekolah rosak, sementara 53 sekolah musnah secara total.

Portal berita Arab News melaporkan selain itu, lebih 60 peratus masjid turut musnah akibat serangan Israel.

“Kadar kemusnahan terpantas adalah dalam tempoh dua hingga tiga bulan pertama pengeboman.

“Kadar kerosakan yang didaftarkan tidak seperti apa yang kami kaji sebelum ini. Ia jauh lebih pantas dan meluas daripada apa yang kami petakan,” kata penganalisis imej satelit di City University of New York di Amerika Syarikat (AS), Corey Scher.

Sebagai perbandingan, empat serangan udara di Dresden pada Februari 1945 memusnahkan hanya sekitar bawah 60 peratus bangunan bandar itu.

Pengebom AS dan British menggugurkan lebih 3,900 tan peranti bahan letupan tinggi dan pembakar yang memusnahkan lebih 6.5 kilometer persegi bandar itu dalam salah satu tindakan perang yang paling kontroversi.

Di Gaza semalam, tentera Israel mengambil alih kawasan lintasan sempadan Rafah antara Mesir dan kawasan wilayah terkepung itu, sekali gus menutup laluan bantuan utama.

Kereta kebal bergerak melalui kompleks lintasan dan bendera Israel dinaikkan di Gaza. Petang semalam terdapat kehadiran kereta kebal Israel di timur Rafah.

“Mereka semakin menggila, kereta kebal melepaskan peluru dan bom asap menutupi langit dengan asap memenuhi kawasan kejiranan Al-Salam dan Jneinah.

“Saya kini memikirkan secara serius untuk menuju ke utara, mungkin ke kawasan tengah Gaza. Jika mereka bergerak lebih jauh ke Rafah, ia akan membawa kepada siri pembunuhan beramai-ramai,” kata pelarian dalaman dari Gaza City, Emad Joudat, 55.

Sekatan di lintasan itu berlaku walaupun gesaan berterusan sejak beberapa minggu lalu daripada sekutu dan badan antarabangsa supaya Israel menangguhkan serangan besar-besaran di bandar itu.

Tentera Israel berkata, pihaknya menjalankan operasi terhad di Rafah untuk membunuh pejuang Hamas dan memusnahkan infrastrukturnya.

Sementara itu, terdapat kekeliruan di pihak Israel selepas Perdana Menteri Benjamin Netanyahu menolak cadangan gencatan senjata yang diterima Hamas pada malam Isnin.

Seorang pegawai Israel berkata rancangan itu hampir sama dengan cadangan gencatan senjata Israel sendiri yang dikemukakan pada akhir April, dengan beberapa pindaan kecil.

Bagaimanapun, Netanyahu semalam berkata rancangan gencatan senjata itu “jauh tersasar” daripada tuntutan Israel. Rundingan mengenai gencatan senjata diteruskan di Kaherah.