WhatsApp Image 2023-07-17 at 10.29.14 AM
Info Semasa

Penjajahan Israel ubah Palestin jadi `penjara terbuka’

LONDON: Seorang pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berpandangan penjajahan tentera Israel sudah mengubah Palestin menjadi `penjara di bawah langit terbuka’.

Ia berikutan penduduk Palestin sering dikurung dan dipantau dalam negara sendiri.

Dalam satu laporan baharu dikemukakan kepada Majlis Hak Asasi Manusia, pelapor khas PBB, Francesca Albanese berkata, Israel sudah melanggar dasar hak asasi manusia, lapor Utusan.

Malah, tegasnya, Israel juga melakukan penahanan secara beramai-ramai sebagai cara untuk menghapuskan penentangan selama 56 tahun terhadap penaklukan di wilayah yang diduduki sejak 1967.

Menurut laporan itu, sejak 1967, lebih 800,000 penduduk Palestin termasuk kanak-kanak semuda usia 12 tahun, ditahan di bawah peraturan autoritarian yang dikuatkuasakan oleh tentera Israel.

Albanese berkata, setakat ini, seramai 5,000 penduduk Palestin termasuk 160 kanak-kanak ditangkap, sementara 1,100 lagi ditahan tanpa mengenakan pertuduhan mahupun perbicaraan.

“Warga Palestin kehilangan hak asasi warga negara mereka untuk mendapatkan perlindungan.

“Mereka ditahan sewenang-wenangnya hanya kerana menyuarakan pandangan, menyertai perhimpunan dan menyampaikan ucapan berunsur politik yang tidak dibenarkan,” jelasnya semasa membentangkan laporan itu di ibu pejabat PBB di Geneva.

Berdasarkan laporan itu, ramai penduduk Palestin sering dianggap bersalah tanpa bukti, ditangkap tanpa waran, ditahan tanpa pertuduhan mahupun perbicaraan dan dianiaya secara kejam semasa berada dalam tahanan Israel.

“Di bawah penjajahan Israel, beberapa generasi penduduk Palestin berdepan pencabulan kebebasan secara meluas, sering kali kerana tindakan tertentu dan pelaksanaan hak asasi,” kata Albanese.

Laporan itu turut merangkumi banyak insiden penderaan serius yang dihadapi oleh penduduk Palestin ketika berada dalam tahanan tentera Israel. 

Ia antara lain membabitkan tahanan Palestin diseksa, dikurung dalam sel yang kotor dan sesak, tiada makanan mencukupi dan tidak dibenarkan tidur, tindakan kekerasan serta diberi layanan buruk.

Sementara itu, Albanese mendakwa pihak berkuasa Israel melakukan pencabulan hak asasi manusia secara besar-besaran yang disifatkan sebagai `jenayah perang’.

Oleh itu, beliau menggesa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk menyiasat perkara itu.

Albanese juga menggesa negara anggota PBB menunaikan kewajipan masing-masing dengan menolak untuk membantu atau mengiktiraf penjajahan Israel dan pengilhakan wilayah Palestin.       

“Negara itu diminta menggunakan semua `langkah diplomatik, politik dan ekonomi’ dibawah Piagam PBB untuk mengakhiri penjajahan serta memastikan pihak bertanggungjawab atas pelanggaran diheret ke muka pengadilan,” jelasnya.