PENGERUSI SERANTAU MUSLIM, USTAZ MOHD HAKIM, TERIMA ANUGERAH ATAS KOMITMEN MEMBELA NASIB UMAT ISLAM SEDUNIA
Melaka, 9 November 2024 – Kapten Bersekutu (PA) Ustaz Mohd Hakim bin Haji Mohd Nor, yang juga merupakan Pengerusi Serantau Muslim, telah dianugerahkan Anugerah Kecemerlangan Seni Bela Diri Dunia dalam kategori Ikon Murabbi Ummah sempena Festival Pendekar Antarabangsa 2024. Anugerah ini disampaikan oleh YB Datuk P. Shanmugam a/l Pitchay, EXCO Belia, Sukan dan NGO, mewakili Ketua Menteri Melaka, dalam satu majlis yang diadakan di Kompleks Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara, Ayer Keroh, Melaka.
Sebagai Pengerusi Serantau Muslim, Ustaz Mohd Hakim menerajui pelbagai usaha bantuan kemanusiaan dan pembelaan nasib umat Islam di seluruh dunia. Melalui inisiatif Serantau Muslim, beliau telah membawa misi kemanusiaan ke negara-negara yang terkesan seperti Syria, Palestin, Yaman, dan rantau Asia, menyediakan bantuan kecemasan, sokongan pendidikan, dan bantuan moral untuk masyarakat Muslim yang memerlukan. Anugerah ini diiktiraf sebagai penghormatan atas usaha tanpa lelah yang diterajui beliau melalui Serantau Muslim dalam mempertahankan maruah dan hak umat Islam yang terpinggir.
Selain itu, Ustaz Mohd Hakim turut menerima gelaran Khalifah Bendahara, yang mengiktiraf peranannya dalam menyemai nilai keberanian, disiplin, dan kekuatan spiritual dalam kalangan generasi muda melalui inisiatif-inisiatif Serantau Muslim. “Anugerah ini adalah penghargaan kepada seluruh pasukan Serantau Muslim yang berdedikasi dalam usaha mempertahankan maruah umat Islam di pelbagai pelosok dunia,” ujar beliau dalam ucapannya.
Festival Pendekar Antarabangsa 2024 menjadi platform yang menghargai dedikasi para pejuang yang bekerja demi kebaikan dan kesejahteraan masyarakat. Pengiktirafan yang diterima Ustaz Mohd Hakim ini menjadi bukti pentingnya peranan NGO seperti Serantau Muslim dalam menyatukan umat Islam dan memberi inspirasi kepada masyarakat untuk menyumbang dalam usaha kemanusiaan global.