Id_obj52859953_1723767725
Uncategorized

Peneroka haram Yahudi lakukan ‘pogrom’, bunuh penduduk Palestin

Sekurang-kurangnya seorang warga Palestin terbunuh dan seorang lagi cedera selepas peneroka haram Yahudi melakukan ‘pogrom’ atau rusuhan terancang bagi menyerang sebuah perkampungan di Tebing Barat.

Kementerian Kesihatan Palestin berkata, mangsa yang terbunuh adalah Mahmoud Abdel Qader Sadda, 23, manakala seorang lagi cedera parah di dada akibat tembakan peneroka haram di kampung Jit, barat Nablus, lapor Berita Harian.

Agensi berita rasmi Palestin, Wafa, yang memetik sumber tempatan, berkata peneroka haram bersenjata bertindak menyerang bahagian barat perkampungan dan membakar beberapa kenderaan.

Tentera Israel berkata puluhan orang awam Israel, sebahagian daripada mereka bertopeng, memasuki Jit dan membakar kenderaan dan struktur di kawasan berkenaan dengan membaling batu serta bom Molotov.

“Seorang warga Israel ditahan untuk disoal siasat,” katanya dalam satu kenyataan, namun tidak mengesahkan kematian warga Palestin berkenaan

Presiden Israel, Isaac Herzog, mengutuk sekeras-kerasnya serangan peneroka haram Yahudi di Samaria, yang digelar sebagai ‘pogrom’.

“Ini adalah minoriti pelampau yang memudaratkan peneroka yang mematuhi undang-undang dan penempatan secara keseluruhan, selain mencemar nama serta kedudukan Israel di mata dunia dalam tempoh yang sangat sensitif dan sukar,” katanya.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata pihaknya memandang serius rusuhan yang berlaku.

“Mereka yang bertanggungjawab atas sebarang perbuatan jenayah akan ditangkap dan didakwa,” katanya menerusi satu kenyataan.

Keganasan di Tebing Barat meningkat sejak perang Gaza bermula pada 7 Oktober tahun lalu.

Penempatan Israel di Tebing Barat dianggap haram di bawah undang-undang antarabangsa, namun peneroka haram Yahudi masih terus memperluaskan lagi pendudukan haram mereka.

Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich, yang juga arkitek kebangkitan penempatan haram Israel di Tebing Barat berkata, penyerang di Jit tiada kaitan dengan penempatan dan peneroka.

“Mereka adalah penjenayah yang mesti ditangani oleh pihak penguatkuasa dengan melaksanakan undang-undang sepenuhnya,” katanya.

Sejak 7 Oktober tahun lalu, sekurang-kurangnya 633 rakyat Palestin terbunuh dalam keganasan dengan peneroka haram atau tentera Israel.

Sekurang-kurangnya 18 warga Israel, termasuk tentera terbunuh dalam serangan membabitkan rakyat Palestin.

Di Baitulmaqdis timur, kira-kira 490,000 peneroka haram Israel tinggal di Tebing Barat yang diduduki, bersama kira-kira tiga juta rakyat Palestin.