Penduduk Palestin di Khan Yunis ‘lari tak cukup tanah’ akibat dibom Zionis
Penduduk di Khan Yunis mendakwa mereka berada dalam ketakutan akibat tindakan rejim Zionis.
Memetik laporan Utusan, mereka umpama ‘tidak cukup tanah berlari’ untuk selamatkan diri apabila tentera Israel melancarkan serangan udara bertubi-tubi di Khan Yunis.
Itu adalah sebahagian reaksi daripada penduduk di bandar Khan Yunis di selatan Semenanjung Gaza yang berdepan dengan peningkatan operasi ketenteraan Israel sejak dua hari lalu.
Tentera Zionis ketika ini menyasarkan selatan Gaza dengan alasan kumpulan pejuang Hamas sudah menukar posisi.
Sebelum ini, Zionis melumpuhkan utara Gaza dengan alasan yang sama, namun masih belum dapat menumpaskan Hamas.
“Pengeboman dan serangan udara oleh tentera Israel di bandar Khan Yunis amat dahsyat, seperti langsung tidak berhenti.
“Kami tidak tahu ke mana lagi mahu selamatkan diri dan rasanya kami seperti berlari tanpa henti kerana di mana-mana sahaja bom gugur.
“Rumah kami bergegar tiap kali bom dijatuhkan, semua cermin tingkap dan pintu pecah berderai,” kata seorang gadis, Batoul yang berusia 23 tahun.
Wanita muda itu menceritakan, dia dan kelarganya melarikan diri dari utara Gaza ke Khan Yunis pada pertengahan Oktober lalu.
Mereka berlindung dalam sebuah rumah kecil bersama 30 lagi ahli keluarga.
JERITAN BERSAHUTAN
Batoul yang dihubungi wartawan The Guardian menerusi telefon memberitahu, golongan wanita dan kanak-kanak menjerit ketakutan setiap kali Israel melancarkan serangan.
“Masih terngiang-ngiang di kepala saya bagaimana jeritan mereka saling bersahutan, jelas suara itu amat ketakutan.
“Kanak-kanak menangis dan memeluk erat keluarga mereka kerana semua tempat diselubungi api bom,” katanya.
Agensi berita WAFA melaporkan, puluhan terbunuh dan cedera dalam siri serangan udara Israel pada waktu subuh di seluruh Gaza.
Di Rafah, sekurang-kurangnya 12 maut dan puluhan lagi cedera.
Seorang wartawan, Shaima al-Jazzar dan keluarganya merupakan antara yang terbunuh selepas serangan udara Zionis mengenai rumahnya di Rafah.
Israel bersikap bacul apabila menyuruh penduduk Gaza berpindah ke Rafah kerana ingin melancarkan operasi memburu Hamas di Khan Yunis.
Namun, janji itu tidak ditepati apabila Rafah juga menjadi sasaran serangan Israel.
JUTAAN HILANG TEMPAT TINGGAL
Sekurang-kurangnya 1.8 juta penduduk Gaza, iaitu 80 peratus populasinya hilang tempat tinggal akibat perang yang berlaku.
Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan, lebih 15,000 penduduk Gaza terbunuh dalam serangan Israel sejak 7 Oktober lalu.
Pada hujung minggu lalu, lebih 1,000 penduduk Gaza maut selepas tentera Israel meningkatkan operasi ketenteraan.
TIADA AMARAN, TERUS SERANG
Penduduk di Khan Yunis memberitahu, mereka tidak diberikan amaran oleh tentera Israel supaya berpindah, sebaliknya hanya mengetahui perkara itu selepas melihat kereta kebal Zionis memasuki bandar mereka.
“Satu amaran pun tidak dikeluarkan. Sebelum ini, Khan Yunis dijadikan tempat berlindung oleh penduduk dari selatan Gaza.
“Kini, kami pula jadi sasaran Zionis, dengan pengeboman tanpa henti sejak dua hari lalu,” kata seorang penduduk.
Selain itu, operasi darat oleh tentera Zionis juga disifatkan lagi dahsyat berbanding di selatan Gaza.
“Kali ini, mereka (Zionis) melancarkan serangan yang lebih dahsyat berbanding di selatan kerana boleh dikatakan setiap saat bom digugurkan di sini.
“Kami tidak mampu menenangkan semua penduduk yang ketakutan, kami hanya mampu melihat tangisan dan jeritan mereka,” ujar pegawai program Kumpulan Bantuan Perubatan Palestin (MAP), Mohammed Aghaalkurdi.