WhatsApp Image 2024-02-06 at 12.30.31 PM
Info Semasa

Penduduk Gaza makin terhimpit, gesa segerakan gencatan senjata

Hampir separuh penduduk Gaza kini bersesak dalam wilayah kecil di selatan bersempadan dengan Mesir, dengan sebahagian besar makin terhimpit susulan perang yang masih berlarutan.

Israel meneruskan serangan bertubi-tubi ke atas Gaza ketika kebimbangan semakin meningkat mengenai lebih ramai pelarian Palestin tertumpu ke selatan Gaza, sementara Hamas memaklumkan perjanjian gencatan senjata masih belum dicapai.

Dalam laporan Berita Harian dilaporkan bahawa serangan udara dan tembakan kereta kebal menggegarkan Khan Younis, bandar utama selatan Gaza yang menjadi tumpuan serangan Israel.

Pegawai Hamas dan tentera Israel turut melaporkan, pertempuran di seluruh wilayah yang dikepung dan rakaman AFPTV menunjukkan asap berkepul di bahagian selatan selepas serangan ke atas Rafah.

Ratusan ratus ribu daripada 2.4 juta penduduk Gaza yang kehilangan tempat tinggal akibat pertempuran sengit lari menyelamatkan diri ke Rafah ketika perang, dengan khemah mereka bersesak di sepanjang jalan dan taman.

Bandar yang pernah menjadi tempat tinggal kepada 200,000 orang kini menjadi tempat berlindung kepada lebih separuh daripada penduduk Gaza, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Orang awam yang melarikan diri ke Rafah kini semakin ditolak ke sempadan dengan Mesir, cuba mengelak bahagian bandar yang terdedah kepada pengeboman serta tumpuan pertempuran di Khan Younis yang terletak berdekatan.

Agensi kemanusiaan PBB bagi Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), berkata pihaknya bimbang dengan peningkatan pertempuran di Khan Younis, yang mendorong lebih ramai orang melarikan diri ke selatan.

“Rafah adalah ‘benteng terakhir’ kepada mereka yang terdesak dan kami bimbang mengenai apa yang akan berlaku seterusnya,” kata jurucakap OCHA, Jens Laerke.

Sementara itu, Khamis lalu, Menteri Pertahanan Israel Yoav Gallant memberi amaran tentera yang memulakan pencerobohan darat di utara wilayah itu dan secara berperingkat akan bergerak ke selatan dan seterusnya bertumpu ke Rafah.

Peperangan itu memusnahkan jalur pantai yang sempit, manakala pengepungan Israel mengakibatkan penduduk hampir kehabisan makanan, air, bahan api dan ubat-ubatan.

Angka kematian orang awam semakin meningkat di Gaza manakala kebimbangan dalam kalangan rakyat Israel terhadap nasib tebusan, meningkatkan desakan untuk gencatan senjata.

Sementara itu di Tel Aviv, ratusan penunjuk perasaan berhimpun menggesa pilihan raya awal dan menuntut tindakan untuk membebaskan tebusan yang masih tinggal.

Selain itu, demonstrasi juga diadakan di pelabuhan Haifa di utara Israel dan berhampiran kediaman Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Baitulmaqdis.

Dalam pada itu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken dijangka mengunjungi beberapa negara Asia Barat dalam masa beberapa hari ini bagi mendesak pelan damai disegerakan.

Ia termasuk cadangan baharu membabitkan pembebasan tebusan Israel dan gencatan senjata sementara dalam perang, menurut kenyataan Jabatan Negara AS.

Blinken dijadualkan bertemu dengan negara pengantara Qatar dan Mesir selain Israel serta Arab Saudi dan juga Tebing Barat yang diduduki mulai hari ini.

Ini adalah perjalanan kelimanya sejak perang meletus, dilakukan selepas Qatar berkata terdapat harapan untuk ‘berita baik’ tidak lama lagi mengenai rundingan itu.