Pemimpin Palestin, Hamas kecam Barat henti biaya agensi PBB bantu Gaza
Pegawai tertinggi Palestin dan Hamas mengkritik keputusan beberapa negara Barat yang menangguhkan pembiayaan kepada Agensi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA).
Memetik kenyataan UNRWA dalam laporan Utusan pada 29 Januari, mereka membuka siasatan selepas Israel mendakwa beberapa pekerjanya terlibat dalam serangan 7 Oktober lalu yang mencetuskan konflik semasa.
Pesuruhjaya Agung UNRWA, Philippe Lazzarini dalam satu kenyataan berkata, perkara itu mendorong beberapa negara Barat menarik balik atau menghentikan sementara pembiayaan kepada agensi itu dan ia merupakan satu langkah yang mengejutkan.
“Penggantungan dana mengancam kerja kemanusiaan di rantau ini, terutamanya di Gaza,” katanya.
Lazzarini turut menggesa negara-negara yang membekukan pembiayaan untuk mempertimbangkan semula keputusan mereka kerana Gaza menghadapi risiko kebuluran besar-besaran.
RISIKO KEMANUSIAAN
Terdahulu, Setiausaha Agung Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Hussein al-Sheikh berkata, keputusan negara-negara yang menghentikan bantuan itu melibatkan risiko bantuan politik dan kemanusiaan yang besar.
“Pada masa ini, memandangkan pencerobohan berterusan terhadap rakyat Palestin, kami memerlukan sokongan maksimum untuk organisasi antarabangsa ini dan berharap negara-negara Barat tidak menghentikan sokongan dan memberi bantuan kepadanya,” tulis Hussein di aplikasi X.
Hussein menggesa negara-negara terlibat untuk segera menarik balik keputusan mereka.
Terdahulu, Australia, Kanada, Itali dan Amerika Syarikat (AS) akan menghentikan pembiayaan kepada agensi itu manakala Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah, Josep Borrell berkata, blok 27 anggota negara Eropah itu sedangmenilai langkah selanjutnya dan mempertimbangkan hasil siasatan penuh dan komprehensif.
Jerman, Finland, Belanda dan United Kingdom kemudiannya turut menyertai senarai negara yang menghentikan bantuan kewangan kepada agensi PBB.
IRELAND, NORWAY TERUSKAN BANTUAN
Ireland dan Norway bagaimanapun, menyatakan sokongan berterusan untuk UNRWA dengan menyifatkan agensi itu melakukan kerja penting untuk membantu rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal dan sangat memerlukan bantuan di Gaza.
Sabtu lalu, Hamas menyelar ancaman Israel terhadap agensi itu, selepas Israel menuduh beberapa kakitangan UNRWA terlibat dalam serangan pada 7 Oktober lalu di selatan Israel yang membunuh kira-kira 1,140 orang.
“Kami meminta PBB dan pertubuhan antarabangsa untuk tidak menyerah kepada ancaman dan pemerasan daripada Israel, kata pejabat akhbar Hamas dalam satu catatan di Telegram.
Jumaat lalu, UNRWA berkata, ia memecat beberapa pekerjanya dan membuka siasatan terhadap dakwaan itu.
Bagaimanapun, agensi itu tidak mendedahkan bilangan pekerja mahupun jenis penglibatan mereka, tetapi mana-mana pekerja UNRWA yang terlibat dalam tindakan keganasan akan bertanggungjawab, termasuk melalui pendakwaan jenayah.
Tidak lama selepas tindakan itu, AS membuat pengumuman menghentikan pembiayaan kepada UNRWA kerana dakwaan 12 pekerja yang mungkin terlibat dalam serangan Hamas terhadap Israel.
Menteri Pembangunan Antarabangsa Kanada, Ahmed Hussen juga berkata Ottawa menangguh sementara pembiayaan tambahan sementara UNRWA menjalankan siasatan menyeluruh.
Kerajaan United Kingdom (UK) berkata, ia menyertai AS dalam memberhentikan sementara bantuan kewangan untuk UNRWA yang dibiayai hampir keseluruhannya oleh sumbangan sukarela daripada negara anggota PBB.
“UK terkejut dengan dakwaan bahawa kakitangan UNRWA terlibat dalam serangan 7 Oktober ke atas Israel, satu tindakan keganasan yang berulang kali dikecam oleh kerajaan UK,” kata Pejabat Luar dan Komanwel dalam satu kenyataan.
Menteri Luar Itali, Antonio Tajani berkata, negaranya menyertai sekutunya dan memotong sokongannya terhadap agensi itu.
“Negara-negara bersekutu mengambil keputusan yang sama. Kami komited untuk memberikan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin sambil melindungi keselamatan Israel,” jelas Tajani.