
Pemimpin Hamas, Mohammed Sinwar, dipercayai terbunuh – Netanyahu
Pemimpin Hamas, Mohammed Sinwar, dipercayai terbunuh dalam serangan Israel, kata Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dalam satu sidang media, lapor Berita Harian.
Tambah beliau, Sinwar adalah ketua semasa kumpulan Hamas di Semenanjung Gaza, mengambil alih peranan itu daripada abangnya, Yahya Sinwar, yang terbunuh pada Oktober 2024 dalam serangan tentera Israel di selatan Gaza.
“Kami telah menumpaskan puluhan ribu pengganas, kami menghapuskan pemimpin seperti Deif, Haniyeh, Yahya Sinwar dan nampaknya juga Mohammed Sinwar.
“Pasukan kami kini menguasai semakin banyak wilayah di Gaza. Pada akhir operasi, seluruh kawasan Genting Gaza akan berada di bawah kawalan keselamatan Israel.
“Saya bersedia menamatkan perang dengan syarat yang jelas untuk menjamin keselamatan Israel,” katanya.
Netanyahu meletakkan syarat iaitu semua tebusan dikembalikan, Hamas letak senjata, kepimpinan mereka digulingkan dan Gaza berada bawah kawalan Israel sepenuhnya selepas perang.
Beliau juga mahu pelan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, untuk memindahkan penduduk Palestin di Gaza dilaksanakan dan wilayah itu dibangunkan sebagai Riviera Asia Barat.
“Mana-mana pihak yang menggesa kami menghentikan perang sebelum matlamat ini tercapai, sebenarnya mahu Hamas terus berkuasa,” tambah Netanyahu.
Pada Ahad lalu, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mengumumkan pelancaran operasi darat besar-besaran di Gaza yang dinamakan ‘Operasi Gideon’s Chariots’.
Pengumuman itu dibuat ketika IDF meningkatkan serangan udara di Gaza, termasuk serangan pada 13 Mei berhampiran Khan Younis di selatan Gaza yang menyasarkan pemimpin Hamas.
Menurut kenyataan IDF, lebih 670 sasaran berkaitan Hamas telah diserang dan puluhan anggotanya dihapuskan.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa tentera IDF telah melumpuhkan tapak infrastruktur pengganas di atas dan bawah tanah, dan kini sedang ditempatkan di lokasi strategik dalam Gaza.
Kabinet keselamatan Netanyahu meluluskan pelan operasi itu pada 5 Mei lalu, yang menurut jurucakap IDF, akan merangkumi serangan menyeluruh termasuk pemindahan majoriti penduduk Semenanjung Gaza.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, pula berkata pada 7 Mei bahawa tentera Israel merancang untuk kekal berada di Gaza selepas operasi tersebut selesai.