jkljkljkkkkkkk_1720932761
Info Semasa

Pemimpin Hamas kecam pembunuhan keji secara beramai-ramai oleh Israel

Pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh pada Sabtu menuduh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berusaha untuk menyekat gencatan senjata dalam perang Gaza susulan pembunuhan keji secara beramai-ramai yang dilakukan oleh tentera Israel.

Dalam satu kenyataan, Ketua Biro Politik kumpulan pejuang itu, menggesa pengantara antarabangsa bertindak, berikutan dua serangan di Gaza, yang dilaporkan pihak berkuasa Palestin sudah membunuh lebih 100 orang, lapor Berita Harian.

Serangan Israel ke atas kem Al-Mawasi, penempatan kepada penduduk dipindahkan, yang menurut Israel menyasarkan ketua tentera Hamas, membunuh sekurang-kurangnya 90 orang dan 300 cedera, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.

Agensi pertahanan awam Gaza pula berkata, sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh dalam serangan ke atas sebuah masjid sementara di kem pelarian Al-Shati di utara Gaza.

Dalam kenyataan Hamas itu, memaklumkan Ismail Haniyeh sudah menghubungi wakil pengantara di Qatar dan Mesir serta Oman dan Turkiye untuk membincangkan pembunuhan beramai-ramai secara kejam itu.

Beliau berkata, Hamas sudah menunjukkan tindak balas positif dan bertanggungjawab kepada cadangan baharu untuk gencatan senjata dan pertukaran tahanan, namun pendirian Israel seperti ditunjukkan Netanyahu menyukarkan persetujuan dicapai.

Ismail Haniyeh juga mengecam reaksi dibuat oleh Netanyahu serta syarat dan perkara baharu dalam cadangan gencatan senjata yang pertama kali digariskan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden pada Mei lalu.

“Ini juga kejadian pembunuhan beramai-ramai kejam yang dilakukan oleh tentera penjajah hari ini,” katanya dipetik sebagai berkata.

Ismail Haniyeh menyeru pihak pengantara untuk melakukan apa yang perlu dengan pentadbiran AS dan pihak lain untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai ini.

Qatar dan Mesir mengutuk serangan Israel.