PELAUT MALAYSIA MEMBERIKAN MAKANAN KEPADA PELARIAN ROHINGYA SEBELUM MENGAWAL MEREKA KELUAR DARI PERAIRAN NEGARA
KUALA LUMPUR – Malaysia telah menolak kemasukan kapal yang membawa kira-kira 200 Rohingya berikutan kebimbangan terhadap pandemik Covid-19.
Tentera udara membuat kenyataan itu selepas timbul berita minggu ini mengenai sejumlah orang mati dalam kapal yang sesak.
Aktivis kini bimbang sekiranya kumpulan Rohingya ini terperangkap dalam kapal di laut dan tidak boleh mendarat di negara lain.
Perkembangan terbaharu telah mencetuskan kebimbangan sekiranya krisis 2015 berulang kembali di mana ketika itu ramai Rohingya mati di lautan selepas negara-negara Asia Tenggara menolak kemasukan kapal mereka.
Dalam kejadian terbaharu ini, kapal yang dinaiki sekumpulan Rohingya dikesan oleh tentera udara di sekitar pulau Langkawi namun dipintas dua kapal tentera laut yang dibantu helikopter.
Pelaut Malaysia memberikan makanan kepada kumpulan itu sebelum mengawal mereka keluar dari perairan negara, kata tentera udara.
“Dengan tempat tinggal dan keadaan mereka, ia dibimbangi pendatang tanpa dokumen yang cuba memasuki Malaysia sama ada dari laut atau darat turut membawa Covid-19 ke negara ini,” kata tentera udara dalam kenyataan.
Sejak 2015, beberapa kapal dilihat membawa kumpulan berkenaan ke Malaysia dan dibenarkan untuk memasuki negara ini.
Namun, awal bulan ini, 202 Rohingya tiba di Langkawi dan ditahan pihak berkuasa.
Malaysia menjadi destinasi pilihan Rohingya kerana majoriti penduduknya beragama Islam.
Pemimpin Rohingya memberi amaran bahawa terdapat tanda-tanda aktiviti pemerdagangan manusia kembali aktif di kem mereka yang terletak di Bangladesh.
Mojib Ullah berkata, selepas aktiviti ini disekat pada 2014 hingga 2015, ia berhenti seketika dalam tempoh itu namun, berdasarkan keadaan semasa di Myanmar dan Bangladesh, ada pihak yang mengambil kesempatan.
Seorang lagi pemimpin komuniti Rohingya, Sayed Ullah berkata, kumpulan pemerdagangan manusia ‘tetap aktif’ di kem walaupun terdapat usaha polis untuk menghentikannya.
“Orang Rohingya tiada masa depan di kem ini. Sesiapa yang mendapat peluang akan cuba melarikan diri untuk masa depan lebih baik,” katanya.