Pelarian Terdesak Untuk Dapatkan Khidmat Rawatan, Perubatan
Situasi kesihatan di Yaman kian kritikal apabila hampir 17.4 juta rakyat di negara itu memerlukan bantuan perubatan berikutan krisis perang saudara yang berlarutan sejak akhir 2014.
Di Marib sahaja ada 196 kem yang diduduki lebih dua juta pelarian yang tinggal di wilayah itu, mereka tidak mempunyai ruang dan peluang untuk mendapatkan akses perubatan yang mencukupi.
Hospital yang ada di situ tidak mampu menampung keperluan penduduk asal Marib, maka jauh sekali ruang dan peluang para pelarian disitu untuk mendapatkan rawatan kesihatan.
Mereka terpaksa bergantung harap kepada sumbangan perubatan daripada masyarakat antarabangsa yang prihatin termasuklah rakyat Malaysia.
Oleh yang demikian, Dalam Misi Kemanusiaan Untukmu Yaman ketika ini, Serantau Muslim telah melaksanakan program Mobile Clinic di kem pelarian Yaman untuk tempoh beberapa hari selain menyumbang bekalan perubatan bernilai RM37 ribu.
Buat makluman, Mobile Clinic ini hanya akan beroperasi apabila mendapat sumbangan daripada NGO-NGO dan penyumbang yang dermawan.
Mobile clinic ini adalah satu keperluan mendesak, ini kerana pelarian-pelarian ini tidak mempunyai peluang dan cara lain untuk mereka bertemu doktor, mendapatkan rawatan dan menerima ubat yang diperlukan.
Disebabkan itu, ramai dari kalangan pelarian khususnya kanak-kanak dan orang tua menghidap pelbagai penyakit kronik. Pelarian Yaman ini terpaksa redha dan pasrah untuk menerima takdir kematian kerana mereka tidak mampu membuat apa-apa disebabkan kekangan kewangan dan ketiadaan fasiliti kesihatan serta perubatan.
Semasa kami mengadakan program Mobile Clinic di sebuah kem pelarian Yaman di Marib, kami telah diserbu oleh para pelarian yang ingin mendapatkan rawatan.
Angka kehadiran para pelarian ini melebihi keperluan perubatan yang kami mampu berikan. Ramai yang menangis, merintih, dan merayu agar mereka diberi peluang untuk mendapatkan rawatan. Mereka sanggup menunggu di tengah-tengah panas demi mendapatkan rawatan kesihatan.
Apa yang menyedihkan, ada dari kalangan mereka tidak terpilih untuk mendapatkan rawatan kerana kami terpaksa menghadkan bilangan kerana jumlah mereka terlalu ramai.
Namun, kami cuba sedaya upaya dengan kekangan yang ada untuk memberi peluang kepada semua yang hadir untuk bertemu dengan doktor dan menerima ubat.
Bukan sahaja orang-orang tua, malah anak-anak kecil dan bayi berebut-rebut mahu mendapatkan rawatan.
Inilah realiti yang sedang berlaku di dalam negara Yaman yang ramai tidak tahu. Mereka terdesak untuk meneruskan kehidupan, mereka menjadi pelarian di dalam negara mereka sendiri.
Justeru, Malaysia harus turut membantu atas dasar tanggungjawab kemanusiaan. Malah agama kita mengajar untuk memberi tanpa menghakimi atau prejudis. Sedekah itu pengubat tekanan jiwa, melapangkan hati dan menghapuskan kegelisahan diri.
Kita memberi bukan kerana kita kaya tetapi Allah telah memilih kita untuk menyahut seruanNya sebagaimana ayat berikut:
Surah Al Baqarah Ayat 262
“Orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang dinafkahkannya itu dengan menyebut-nyebut pemberiannya dan dengan tidak menyakiti (perasaan si penerima), mereka memperoleh pahala di sisi Tuhan mereka. Tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.”
Terima kasih atas sokongan anda, jom kita bantu Yaman.
USTAZAH ISFADIAH MOHD DASUKI
Ahli Misi Kemanusiaan Untukmu Yaman
Duta Rasmi Serantau Muslim
Pendakwah TV dan Radio