Info SemasaKenyataan Media

PELARIAN SYRIA TERKANDAS 10 TAHUN DI GAZA

BANDAR GAZA: Seorang pelarian Syria yang melarikan diri daripada perang saudara di negaranya, terperangkap di Gaza selama hampir 10 tahun dan menyifatkannya sebagai ‘penjara’ tanpa laluan yang pasti untuk pulang.

Gaza kemungkinan bukan destinasi yang baik bagi mereka yang melarikan diri daripada konflik.

Wilayah pesisir pantai Palestin itu dikenakan sekatan oleh Israel sejak 2007 selepas pejuang Hamas mengambil alih kuasa dan akses ke kawasan itu yang dikawal ketat oleh negara Yahudi serta Mesir.

Menurut Imad al-Hisso, selepas dinasihatkan seorang rakan yang dia boleh hidup dengan selamat di wilayah itu, Imad bersama puluhan rakyat Syria lain menyelinap masuk ke Gaza melalui terowong yang digali di bawah tanah Mesir.

“Selepas perang bermula di Syria, saya melarikan diri ke Gaza dengan harapan untuk mendapat kehidupan yang lebih baik,” katanya, yang yakin dapat menjejak semula langkahnya apabila tiba masa untuk pergi.

Dia kini tinggal di Rafah, selatan Gaza, dalam sebuah rumah tanpa dapur dan perabot serta dokumen pengenalan diri Syria yang sudah tamat tempoh, namun tidak boleh diperbaharui.

Bagi mendapatkan dokumen baharu, dia perlu kembali ke Syria yang dilanda perang, namun tidak boleh keluar dari Gaza dengan cara yang sama dia tiba.

Tentera Mesir mula memusnahkan sebahagian terowong bawah tanah pada 2012, diikuti lebih banyak bahagian terowong itu pada tahun berikutnya.

Israel berkata, Hamas menggunakan terowong itu untuk menyeludup senjata dan barangan lain untuk menyerang Israel, justeru sekatan itu perlu bagi membendung ancaman.

Imad berkata, disebabkan dia meninggalkan Mesir secara haram, pihak berkuasa di sana mungkin akan menghalangnya daripada masuk dan menahannya jika dia cuba meninggalkan Gaza menggunakan lintasan Rafah.

“Di sini tiada kerja dan wang, tiada akses kepada penjagaan kesihatan atau pendidikan.

“Saya terkejut apabila mendapati situasi di Gaza lebih buruk daripada Syria.

“Gaza adalah penjara terbesar di dunia. Jika anda masuk ke Gaza, anda tidak boleh keluar,” katanya. 

Sumber: BH