Info SemasaKenyataan Media

PBB GESA PROSES POLITIK TELUS DI GAZA

BANDAR GAZA: Seorang pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam menggesa ‘proses politik yang telus’ bagi mengelakkan pertumpahan darah berlanjutan susulan pertempuran antara pejuang Hamas dan Israel yang memusnahkan wilayah itu.

Wakil tertinggi PBB berkunjung ke Gaza selepas gencatan senjata diisytiharkan Jumaat lalu dalam keadaan ribuan rakyat Palestin Gaza berusaha memulakan semula kehidupan seperti biasa secara beransur-ansur.

Ketua Agensi Kerja dan Bantuan PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini, berkata pembinaan semula perlu berjalan seiring dengan usaha untuk mewujudkan ‘persekitaran politik yang berbeza’.

“Kita perlu ada tumpuan yang benar-benar jujur bagi pembangunan rakyat, mendapatkan akses kepada pendidikan, pekerjaan dan mata pencarian.

“Tetapi ia mesti disertai proses politikal yang telus,” katanya.

Terdahulu ketika diwawancara wartawan, beliau berkata, penderitaan rakyat Gaza semakin berganda kerana punca berlakunya konflik tidak diberikan perhatian.

Semalam, kumpulan sukarelawan membersihkan tapak bangunan yang runtuh akibat serangan dahsyat Israel.

Serangan udara Israel ke atas Gaza sejak 10 Mei lalu mengakibatkan lebih 200 rakyat Palestin terkorban, ribuan lagi hilang tempat tinggal dan kemusnahan teruk bangunan dan infrastruktur di wilayah itu.

Ia adalah siri serangan terbaharu yang melanda wilayah diduduki lebih dua juta penduduk yang sebelum ini menyaksikan tiga peperangan tercetus dengan Israel sejak 2008.

Pada Sabtu lalu, pihak berkuasa mula mengagihkan bantuan termasuk khemah dan tilam di Gaza berikutan lebih 6,000 penduduk hilang tempat tinggal selepas insiden pengeboman oleh Israel, kata Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA).

Selain itu, kelihatan lori membawa ubat-ubatan, makanan dan bahan bakar memasuki Gaza sejak Jumaat melalui laluan Kerem Shalom yang dibuka semula oleh Israel.

Ia sekali gus membolehkan bekalan kemanusiaan penting dihantar ke Gaza.

Sumber: Berita Harian