WhatsApp Image 2024-02-06 at 12.30.30 PM (1)
Uncategorized

Palestin kecam rancangan Israel bina 7,000 penempatan di Tebing Barat

Kementerian Luar Palestin mengecam kenyataan Menteri Israel, Bezalel Smotrich, untuk membina 7,000 unit penempatan Yahudi di Tebing Barat.

Menurut laporan Berita Harian dan agensi Anadolu, kementerian terbabit berkata pelaksanaan pelan itu dianggap peningkatan berbahaya dan provokatif di tengah-tengah konflik Israel-Palestin.

Ia juga secara terang-terangan mencabar pendirian antarabangsa dan Amerika Syarikat (AS) yang menolak penempatan serta serangan pendatang Yahudi terhadap warga Palestin.

Rancangan itu juga dilihat sebagai tindak balas kepada keputusan pentadbiran AS untuk mengenakan sekatan ke atas beberapa peneroka pelampau Yahudi.

Kementerian menggesa masyarakat antarabangsa dan pentadbiran AS memaksa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, supaya menghentikan sebarang pembinaan.

“Kegagalan untuk melaksanakan resolusi antarabangsa yang berkaitan menggalakkan Israel meningkatkan aktiviti penempatan dan mensabotaj usaha antarabangsa untuk menamatkan pencerobohan dan mencapai keamanan,” menurut kementerian itu.

Pergerakan ‘Peace Now Israel’ menganggarkan lebih 700,000 pendatang tinggal di Tebing Barat yang diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur.

Di bawah undang-undang antarabangsa, semua penempatan Yahudi di wilayah yang diduduki dianggap haram.