Info SemasaKenyataan Media

NGO GESA PBB KENAKAN EMBARGO SENJATA KE ATAS MYANMAR

NEW YORK: Kira-kira 200 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenakan embargo senjata terhadap Myanmar.

Kumpulan NGO termasuk Amnesty International (AI) dan Human Rights Watch, mendesak Majlis Keselamatan PBB (UNSC) menyegerakan tindakan itu bagi mengekang keganasan berterusan junta tentera terhadap penduduk Myanmar.

Mereka turut meminta UNSC bertindak tegas menentang kuasa veto China dan Russia selaku penyokong utama junta, ketika mempertimbangkan usul itu.

Kumpulan NGO itu, dalam satu kenyataan bersama, berkata tidak ada kerajaan yang menjual walau sebutir peluru pun kepada junta Myanmar, yang merampas kuasa pada 1 Februari lalu.

“Mengenakan embargo senjata global ke atas Myanmar adalah langkah minimum yang perlu diambil oleh UNSC sebagai tindak balas terhadap kekerasan tentera menzalimi orang awam,” menurut kenyataan itu.

Isnin lalu , wakil China ke PBB, Zhang Jun, sekali lagi memberitahu wartawan bahawa diplomasi adalah saluran terbaik dan usaha ASEAN untuk merintis jalan penyelesaian harus disokong.

“Kami tidak menyokong sebarang sekatan,” katanya.

Wakil AI, Lawrence Moss , berkata kecaman, kritikan dan teguran semata-mata oleh masyarakat antarabangsa tidak memberikan sebarang kesan, malah sidang khas ASEAN gagal membawa sebarang perubahan.

“Sudah tiba masanya UNSC menggunakan kekuatannya untuk mengenakan embargo senjata global yang menyeluruh, sekali gus mengakhiri pembunuhan orang awam oleh tentera Myanmar,” katanya.

Dalam kenyataan berasingan, wakil Human Rights Watch, Louis Charbonneau, berkata keengganan UNSC membahaskan embargo adalah pelepasan tanggungjawab yang mengerikan terhadap rakyat Myanmar.

Sejak 1 Februari lalu, UNSC sebulat suara menerima pakai empat pernyataan mengenai Myanmar, tetapi setiap kali menerima tentangan menerusi kuasa veto China.

Ketika Perhimpunan Agung PBB, deraf resolusi mengenai Myanmar dikemukakan Liechtenstein dengan sokongan Kesatuan Eropah (EU), Britain, Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Turki, dibincangkan selama beberapa minggu.

Menurut versi pertama teks yang diperoleh oleh AFP, resolusi tidak wajib dipatuhi itu, berbanding resolusi UNSC yang wajib dipatuhi, menuntut bekalan langsung dan tidak langsung senjata serta peluru ke Myanmar dihentikan segera.

Ia juga menggesa angkatan bersenjata Myanmar segera menghentikan semua bentuk keganasan dan kekerasan terhadap orang awam, yang mana setakat ini lebih 750 orang dilaporkan terbunuh.

Sumber: Berita Harian