WhatsApp Image 2024-02-21 at 11.37.27 AM
Uncategorized

Netanyahu ulangi ikrar untuk hapuskan Hamas

Israel mahu melancarkan kempen pencerobohan ganas ke atas bandar Rafah jika Hamas gagal membebaskan baki tawanan di Genting Gaza menjelang ketibaan Ramadan pada awal bulan depan.

Menerusi laporan Sinar Harian, amaran terbaharu itu diberikan anggota Kabinet Perang, Benny Gantz selepas komuniti antarabangsa terus menentang rancangan zalim yang dikhuatiri akan menyebabkan malapetaka lebih dahsyat di wilayah terkepung tersebut.

“Operasi ketenteraan akan diteruskan di seluruh wilayah itu termasuk Rafah jika kumpulan ditahan Hamas tidak kembali semula ke Tel Aviv pada masa ditetapkan,” ugut bekas Ketua Turus itu pada persidangan pemimpin Yahudi Amerika pada Ahad.

Dalam kenyataan tersebut, mereka menyatakan bahawa operasi berskala besar itu kononnya akan dilaksanakan mengikut apa yang diminta sekutunya termasuk memudahkan proses pemindahan dan mengurangkan kadar kematian orang awam.

Tetapi, lokasi penempatan golongan itu masih tidak jelas memandangkan tiada lagi tempat selamat di enklaf tersebut.

Sebelum ini, rejim Tel Aviv tidak pernah menetapkan tarikh akhir untuk serangan yang dirancang ke atas bandar paling selatan Gaza tersebut yang menjadi tempat berlindung kira-kira 1.7 juta penduduk Palestin yang hilang tempat tinggal sejak perang genosid tercetus lebih empat bulan lalu.

Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu tetap berkeras mahu memperluaskan kempen pengeboman ganas di Rafah meskipun berdepan tekanan antarabangsa termasuk desakan sekutu kuatnya, Amerika Syarikat (AS).

Pemimpin ekstremis itu yang turut hadir persidangan sama sekali lagi mengulangi ikrar untuk menghapuskan Hamas dengan atau tanpa perjanjian pembebasan tawanan.

Ugutan tersebut diberikan selepas rundingan selama beberapa minggu atas inisiatif negara perantara termasuk Qatar berhubung pelaksanaan gencatan senjata untuk meredakan perang gagal mencapai sebarang kesepakatan.

Usaha Washington untuk menguatkuasakan tempoh bertenang selama enam minggu bagi membebaskan tawanan di Gaza juga tidak diterima pihak bertelagah walaupun angka kezaliman rejim Zionis meningkat hampir 29,000 orang manakala kira-kira 70,000 lagi cedera.

TEMBAK PENDUDUK KELAPARAN

Dalam perkembangan berkaitan, rejim Zionis dilaporkan melepaskan tembakan rambang ke arah ratusan penduduk Palestin yang nekad menyerbu trak bantuan di Bandar Gaza.

Insiden itu berlaku di Jalan al-Rasheed di mana kumpulan tersebut berkumpul demi untuk mendapatkan bekalan makanan berikutan krisis kelaparan yang semakin meruncing di wilayah tersebut.

Rakaman yang menjadi tular di media sosial menunjukkan keadaan huru-hara selepas tembakan dilepaskan.

Ketua Pemerhati Hak Asasi Manusia Euro-Med, Ramy Abdu menerusi platform X menyifatkan kejadian yang disaksikan sendiri oleh pasukan mereka amat menakutkan dan kejam.

“Sejumlah kecil bekalan makanan tiba pada hari ini. Agak mustahil untuk ia tiba di kem penempatan sementara penduduk Palestin di utara Gaza,” katanya.

Pada bulan lalu, tentera Israel bersama unit kereta kebal dan quadcopter turut menyerang penduduk Gaza yang sedang beratur untuk mendapatkan bekalan bantuan kemanusiaan di utara enklaf itu yang menyebabkan sekurang-kurangnya 20 terkorban.

Sejak kebekalangan ini, pelampau Yahudi juga cuba menghalang trak bantuan daripada memasuki Gaza malah kumpulan itu sanggup mendirikan khemah di lintasan Kerem Shalom (Karem Abu Salem) untuk menyekat koridor sempadan tersebut. 

Allahu Akbar. Semoga segala percaturan jahat pihak Israhell serta sekutunya musnah. Didoakan agar penduduk Palestin dan semua yang ditindas sentiasa dalam rahmat Allah SWT.