Netanyahu patut ditahan, bukan diberi platform gilap imej – Hamas
Hamas mengecam peluang diberikan kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berucap di Kongres Amerika dengan menyatakan pemimpin Zionis itu sepatutnya ditahan sebagai penjenayah perang.
Netanyahu menyampaikan ucapan kepada Kongres kelmarin di mana hampir separuh Ahli Parlimen Demokrat di Dewan Perwakilan Rakyat dan Dewan Negara keluar sebagai protes terhadap perang dan jenayah Israel di Semenanjung Gaza, lapor Berita Harian.
“Netanyahu sepatutnya ditangkap sebagai penjenayah perang dan diserahkan kepada ICC (Mahkamah Jenayah Antarabangsa) dan bukannya diberi platform untuk menggilap imejnya di pentas dunia dan menutup pembunuhan besar-besaran dan penghapusan etnik di Gaza.
“Ucapan Netanyahu mencerminkan ketenteraan, keselamatan dan krisis antarabangsanya yang cuba ditutup secara terbuka dengan mewajarkan kekalahan dialami tenteranya di Gaza,” menurut kumpulan pejuang itu dalam satu kenyataan.
Hamas mendakwa Netanyahu cuba menuntut kemenangan palsu, seperti membebaskan beberapa tebusan, sambil mengabaikan “pembunuhan beramai-ramai ngeri” yang dilakukan terhadap orang awam di Rafah dan Nuseirat.
Netanyahu tiba di Amerika Syarikat pada Isnin dan bertemu Presiden Joe Biden dan Naib Presiden Kamala Harris semalam.
Dia juga bersedia bertemu bekas Presiden Donald Trump di Florida hari ini sebelum kembali ke Israel.
Melanggar resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menuntut gencatan senjata segera, Israel berdepan kecaman antarabangsa di tengah-tengah serangan kejam yang berterusan ke atas Gaza sejak serangan 7 Oktober oleh Hamas.
Hampir 39,200 rakyat Palestin terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak dan lebih 90,400 cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.
Lebih sembilan bulan selepas serangan Israel, kawasan Gaza yang luas menjadi runtuhan di tengah-tengah sekatan makanan, air bersih dan ubat-ubatan.
Israel dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa, yang mengarahkan Tel Aviv menghentikan serta-merta operasi ketenteraan di bandar selatan Rafah, di mana lebih satu juta rakyat Palestin telah mencari perlindungan daripada perang sebelum ia diceroboh pada 6 Mei.