Screenshot 2024-05-28 092357
Uncategorized

Netanyahu kata serangan di Rafah ‘kemalangan tragis’, ikrar hapuskan Hamas

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata serangan maut di kem pelarian di Rafah, Gaza adalah ‘kemalangan tragis’, tetapi berikrar tentera Israel tidak akan menghentikan serangan.

Menurut laporan Berita Harian, Netanyahu, dengan nada menentang dalam ucapan di Knesset (Parlimen Israel), sambil diherdik oleh saudara-mara tebusan yang diculik Hamas, berikrar untuk meneruskan pertempuran sehingga Hamas dimusnahkan sama sekali.

Beliau turut mengecam tekanan, baik dari dalam dan luar negara, yang dihadapi kerajaannya sejak perang di Gaza bermula 7 Oktober lalu serta menegaskan tiada ganti untuk kemenangan mutlak di Gaza.

“Mereka menekan kami ketika itu..Jangan masuk Gaza. Kami masuk! Jangan masuk Shifa! Kami masuk! Jangan masukkan Khan Younis! Kami masuk! Jangan masuk Rafah! Kami masuk!

“Saya tidak berputus asa dan saya tidak akan berputus asa! Saya akan menghadapi tekanan dari dalam dan luar negara,” katanya menyenaraikan tuntutan antarabangsa bagi menghentikan serangan di Gaza, yang tidak diendahkan tentera Israel.

Namun, kata Netanyahu, pihaknya sedang menyiasat kes serangan maut di kem pelarian di Rafah yang meragut nyawa 45 pelarian dan mencederakan 249 yang lain selepas bedilan tentera Israel menyebabkan kebakaran lewat Ahad lalu.

Israel menghadapi gelombang kecaman antarabangsa berhubung serangan Rafah, termasuk dari seluruh rantau itu serta dari Kesatuan Eropah, Perancis, Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Tentera Israel berkata ia melancarkan siasatan ke atas serangan yang dikatakan dilakukan berdasarkan ‘maklumat risikan yang tepat’ mengenai dua pemimpin kanan Hamas di Tebing Barat, Yassin Rabia dan Khaled Nagar, yang dikatakan terbunuh.

Ia juga berkata serangan tidak berlaku di kawasan zon selamat di Al-Mawasi, di mana pasukan pertahanan Israel (IDF) menggalakkan orang awam untuk berpindah sejak operasi darat bermula di Rafah.

Perang Gaza yang meletus selepas serangan Hamas pada 7 Oktober di selatan Israel mengakibatkan kematian lebih 1,170 orang, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka rasmi Israel.

Serangan balas Israel setakat ini membunuh sekurang-kurangnya 36,050 orang di Gaza, kebanyakannya orang awam, menurut kementerian kesihatan wilayah itu.

Justeru itu, sama-samalah kita doakan rakyat Palestin dan semua umat Islam yang dizalimi mendapat keadilan secepat mungkin dan tentera Israel laknatullah mendapat balasan setimpal di dunia dan akhirat. Aamiin.