d59cdb8b-526d-449c-bb53-2022983c98d6.jpg
Info Semasa

Negara sokong pengganas tidak layak sertai NATO – Presiden Turki

ANKARA: Presiden Turki, Reccep Tayyip Erdogan masih berkeras dengan pendirian menolak penyertaan Finland dan Sweden menjadi negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Tegas beliau, Ankara tidak boleh bersetuju dengan negara yang memberikan ‘sokongan kepada pengganas’.

“Selagi mana saya masih diberi tanggungjawab menjadi pemimpin Turki, kami tidak boleh berkata ‘ya’ terhadap negara yang menyokong pengganas untuk menyertai NATO.

“Mereka tidak jujur dan ikhlas. Kita tidak boleh mengulangi kesilapan yang pernah dibuat masa lalu, berhubung negara yang mengiktiraf dan menyokong pengganas berada dalam organisasi keselamatan seperti NATO,” katanya lapor syarikat penyiar tempatan, TRT Haber.

Sebelum ini, dua sumber memberitahu Reuters pertemuan Turki dengan delegasi Finland dan Sweden pada Rabu lalu menunjukkan sedikit perkembangan.

Sehingga kini, tidak jelas mengenai tarikh perbincangan lanjut akan dilakukan.

Penyertaan Sweden dan Finland ke dalam pakatan itu perlu mendapat persetujuan semua 30 negara keanggotaan NATO.

Dalam perkembangan lain, Timbalan Setiausaha Agung NATO, Mircea Geoana berkata, NATO tidak lagi terikat dengan komitmen masa lalu yang tidak membenarkan tenteranya dikerahkan di timur Eropah.

Sehubungan itu jelas beliau, tiada sebarang halangan untuk NATO mengerahkan pasukan tentera ke timur Eropah bagi mengawal keselamatan dan keamanan serantau.

Katanya, Moscow sendiri sudah ‘membatalkan sebarang kandungan’ mengenai Akta Pengasas NATO-Russia dengan menyerang Ukraine dan menghentikan dialog perikatan.

Beliau menjelaskan berdasarkan Akta Pengasas 1997 yang bertujuan menetapkan semula hubungan antara Russia dan Perikatan, kedua-dua pihak bersetuju untuk ‘mencegah sebarang pembentukan kuasa konvensional yang berpotensi mengancam di wilayah Eropah, termasuk Eropah Tengah dan Timur’.

“Saya fikir sebenarnya akta ini pada dasarnya tidak berfungsi kerana Russia.

“Kini kami tidak mempunyai sekatan untuk mempunyai kedudukan yang teguh di sayap timur dan memastikan setiap genap penjuru wilayah NATO dilindungi oleh Perkara 5 dan sekutu kami,” ujarnya.

Sumber: Utusan