Info SemasaKenyataan Media

MYANMAR MULA PROGRAM HANTAR ROHINGYA TAHUN INI

DHAKA: Myanmar bersetuju dengan permintaan Bangladesh untuk memulakan penghantaran balik pelarian Rohingya pada suku kedua tahun ini.

Perkara itu dimaklumkan pada rundingan tiga pihak yang menyaksikan China sebagai perantara.

“Kami mahu ia dimulakan pada suku pertama tahun ini, tetapi Myanmar minta diberikan lebih banyak masa untuk mengatur logistik dan beberapa perancangan lain. Maka kami mahu ia dimulakan pada suku kedua dan mereka bersetuju,” kata Setiausaha Luar Bangladesh Masud bin Momen selepas rundingan itu.

China akan memberikan vaksinasi COVID-19 percuma kepada penduduk Rohingya pada fasa pertama program penghantaran pulang itu.

Beberapa hari sebelum itu, Menteri Luar Bangladesh, AK Abdul Momen berkata, penghantaran balik satu-satunya jalan keluar untuk mengakhiri krisis Rohingya dan tiada alternatif lain.

Sementara itu, Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan berkata, Myanmar membuat semua perancangan yang diperlukan dan menegaskan kesediaan Yangon untuk menerima semula pelarian Rohingya.”

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak memperincikan tarikh tertentu untuk penghantaran pulang bermula.

“Projek perintis sedang dijalankan untuk penghantaran pulang itu. Myanmar bersedia untuk memulakan proses mengenal pasti pelarian yang akan terbabit,” tambah kenyataan itu.

Etnik Rohingya yang terbabit perlu mengisi dan menandatangani borang mereka dengan rela hati mahu dihantar balik serta akan mematuhi undang-undang Myanmar.

Selain itu, Myanmar mahu Bangladesh memastikan tiada sebarang ancaman pengganas ketika program dilaksanakan.

Sebelum ini dua usaha penghantaran pulang cuba dilakukan di bawah perjanjian dua hala antara Bangladesh dan Myanmar yang ditandatangani pada 2017 tetapi gagal mencapai sebarang hasil, walaupun Myanmar berulang kali memberi jaminan bersedia untuk menerima semula Rohingya yang dihantar balik.

Menurut Amnesty International, lebih 750,000 pelarian Rohingya, yang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, melarikan diri dari Myanmar dan menuju ke Bangladesh susulan kekejaman tentera Myanmar terhadap komuniti minoriti Islam, pada Ogos 2017. 

Dalam isu ini, Serantau Muslim berharap semua pelarian dibawa balik dengan selamat tanpa ada unsur ‘ada udang disebalik batu’ iaitu ada maksud lain mungkin yang tersembunyi di sebalik program yang bakal dilaksanakan ini. Hal ini kerana seperti komuniti dunia maklum, pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan sebelum ini masih ‘berbekas’ pada semua muslim di dunia.

Serantau Muslim juga menyeru pihak yang berkuasa tiada berat sebelah dalam melakukan sebarang tugas agar krisis kemanusiaan ini dapat berakhir dengan baik bukannya lebih parah.

Sumber: Berita Harian