201223pbb_1703052084
Uncategorized

Majlis Keselamatan PBB tangguh kali kedua undian mengenai Gaza

Undian mengenai draf resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menggesa agar serangan di Gaza dihentikan untuk membenarkan akses bantuan kemanusiaan, ditangguhkan semalam untuk kali kedua berturut-turut.

Menurut Berita Harian yang dipetik dari maklumat Agensi Anadolu (AA), Amerika Syarikat (AS) masih belum yakin dengan draf resolusi itu yang sepatutnya diundi pada lewat petang.

Anggota Majlis Keselamatan dijadual mengundi draf resolusi itu pada hari ini.

Teks itu yang dirangka oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE), menggesa penangguhan segera pertempuran untuk membolehkan akses kemanusiaan yang selamat dan tanpa halangan serta langkah segera ke arah menghentikan permusuhan secara berkekalan.

Menegaskan semula semua pihak yang terbabit dalam konflik mesti mematuhi kewajipan mereka di bawah undang-undang antarabangsa, ia juga meminta agar mekanisme pemantauan PBB dilaksanakan segera.

Terdahulu semalam, Timbalan Duta AS ke PBB, Robert Wood memaklumkan kepada media, pihaknya masih berusaha menyiapkan teks resolusi itu dengan pemain lain.

AS memveto resolusi Majlis Keselamatan pada 8 Disember yang menuntut gencatan senjata segera untuk menghentikan pertumpahan darah di Semenanjung Gaza ketika jumlah kematian terus meningkat.

Serangan udara dan darat Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober lalu membunuh lebih 19,450 rakyat Palestin.

Konflik itu menyebabkan Gaza musnah dengan separuh daripada perumahan di wilayah terkepung itu rosak atau ranap manakala hampir dua juta penduduk kehilangan tempat tinggal.