hiasan_kanak-kanak_gaza_-_AFP_1723716052
Uncategorized

Lintasan Rafah ditutup, 1,000 kanak-kanak Palestin meninggal dalam 100 hari

Sekurang-kurang 1,000 kanak-kanak Palestin yang sakit dan cedera telah meninggal dunia susulan penutupan lintasan sempadan Rafah sepanjang tempoh 100 hari lalu, menurut Pejabat Penerangan Palestin di Gaza.

Menurut Berita Harian bersumberkan Agensi Berita Iran (IRNA) yang memetik kenyataan pejabat kerajaan Gaza, selepas memusnahkan lintasan Rafah, tentera Israel menutup pintu sempadan antara Palestin dengan Mesir selama lebih tiga bulan.

Malah dalam tempoh sama, katanya, rejim Zionis juga menghalang sekurang-kurang 25,000 orang yang sakit dan cedera, termasuk kanak-kanak, daripada melakukan perjalanan keluar negara untuk mendapatkan rawatan.

Pejabat Penerangan itu sekali gus menegaskan, tingkah laku tentera rejim Zionis serta peningkatan malapetaka kemanusiaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini di semua wilayah di Gaza, adalah jenayah dan pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa serta hak asasi manusia antarabangsa, selain bertentangan dengan semua perjanjian antarabangsa.

Katanya, tindakan Israel menghalang kemasukan semua bentuk bantuan ke Gaza, termasuk bekalan perubatan, menunjukkan hasrat rejim Zionis untuk memusnahkan sektor kesihatan di semenanjung itu, berikutan kekurangan ubat-ubatan dan peralatan boleh memaksa penutupan beberapa hospital yang masih beroperasi.