Info SemasaKenyataan Media

LEBIH BANYAK GUNUNG BERAPI MELETUS, RIBUAN MELARIKAN DIRI

JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia memantau rapi beberapa gunung berapi selepas alat pengesan mendapati berlaku peningkatan aktiviti dalam beberapa minggu lalu, menyebabkan ribuan penduduk berpindah.

Abu panas jatuh sejauh 3,000 meter ke lereng Gunung Semeru awal hari ini, mencetuskan rasa panik dalam kalangan penduduk kampung, kata jurucakap Agensi Mitigasi Bencana Negara, Raditya Jati.

Abu dan sulfur yang jatuh melitupi beberapa kampung di sekeliling lereng gunung itu.

Gunung setinggi 3,676 meter di daerah Lumajang itu adalah gunung berapi tertinggi di Jawa, pulau yang paling padat di Indonesia.

Jati berkata, pihak berkuasa masih cuba memindahkan kira-kira 550 penduduk yang tinggal di lereng gunung.

Tiada sebarang kecederaan atau kerosakan serius dilaporkan.

Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi Indonesia tidak menaikkan status amaran yang sudah berada pada tahap ketiga tertinggi sejak ia mula meletus pada Mei.

Agensi itu berkata, penduduk kampung dan pelancong dinasihatkan untuk berada empat kilometer (km) dari kawah gunung berapi berkenaan.

Letusan hari ini berlaku dua hari selepas Gunung Ili Lewotolok mengeluarkan awan panas setinggi 4,000 meter ke udara.

Lebih 4,600 orang dipindahkan dari lereng gunung itu, yang terletak di pulau Lembata di wilayah Timur Nusa Tenggara.

Agensi vulkanologi menaikkan amaran bagi Ili Lewotolok kepada tahap kedua tertinggi pada Ahad lalu selepas alat pengesan mendapati berlaku peningkatan aktiviti.

Kementerian Pengangkutan berkata, amaran penerbangan dikeluarkan selepas letusan itu dan lapangan terbang tempatan ditutup selepas abu gunung berapi menghujani banyak kawasan di pulau itu.

Di bahagian lain di pulau Jawa, pihak berkuasa memindahkan lebih 1,800 orang di lereng Gunung Merapi sejak awal November lalu berikutan peningkatan aktiviti gunung berapi.

Pentadbiran tempatan di wilayah Jawa Tengah dan Yogyakarta memantau rapi gunung berkenaan selepas agensi geologi menaikkan amaran Merapi kepada tahap kedua tertinggi dan penduduk dinasihatkan untuk berada 5 km dari kawah gunung. 

Sumber: Berita Harian