Farah lee
Aktiviti SM

LALUI PENUH LIKU DAN CABARAN, FARAH LEE TETAP NEKAD PERGI KE YAMAN

Yaman merupakan sebuah negara yang terletak di Jazirah Arab, kawasan Timur Tengah yang terdapat pelbagai fakta dan tempat yang menarik untuk diterokai.

Namun kini Yaman agak berbahaya akibat pemberontakan Sa’dah yang juga dikenali dengan perang saudara di Yaman sejak Jun 2014.
 
Walaupun situasi di sana agak berbahaya, dengan kemungkinan jaminan keselamatan yang rendah dan serangan yang tidak diduga, Serantau Muslim tetap nekad dan memberikan komitmen yang tinggi ke sana.

Misi Serantau Muslim ini turut disertai oleh aktivis kemanusiaan, Farah Lee.

Menurutnya, beliau sangat berasa tanggungjawab untuk ‘membongkar’ kemelut kemanusiaan di Yaman untuk diketahui oleh komuniti dunia khususnya rakyat Malaysia.

Katanya, isu kemanusiaan di Yaman ini adalah yang terburuk di dalam dunia dan kenyataan ini telah dikeluarkan sendiri oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
 
Apa yang lebih mengejutkan juga, lebih 17.4 juta penduduk Yaman yang terkesan dengan konflik yang berlaku di dalam negara mereka sejak lapan tahun lepas.  
 
Farah Lee menyeru kepada semua untuk menyokong misi kemanusiaan ini kerana ia bukan sekadar misi kebajikan semata-mata, tetapi ia sebagai tanda kebersamaan kepada umat Islam Yaman yang sedang mengharugi cabaran yang penuh liku.

 Beliau mengajak ramai-ramai memberikan sokongan, doa dan sumbangan kepada kempen Untukmu Yaman yang digerakkan oleh Serantau Muslim.

Misi Untukmu Yaman sedang berlangsung ketika ini, kini mereka sedang mengagihkan sumbangan di Marib, Yaman.

Antara sumbangan yang diagihkan ialah bantuan makanan, bekalan air bersih, projek ekonomi masyarakat, klinik bergerak, sedekah daging, bangunan sekolah, tajaan guru, bantuan alat kelengkapan sekolah dan sebagainya.

Marib adalah sebuah wilayah yang telah dihuni oleh lebih 2 juta pelarian, mereka datang dari wilayah lain dan terpaksa menjadi pelarian di dalam negara mereka sendiri.

Mereka memilih menjadi pelarian di Marib kerana ia adalah antara wilayah yang selamat untuk diduduki berbanding di lokasi lain di Yaman yang sentiasa berisiko untuk diserang dan diancam.

“Ramai yang mati bukan sahaja kerana peperangan, tetapi kebuluran, penyakit berjangkit dan lain-lain masalah yang tak mampu dibendung.

“Saya mahu ambil keberkatan Yaman yang didoakan Rasulullah, saya yakin setiap pengorbanan kita akan dinilai disisi Allah SWT”.
 
“Penduduk yaman kini mengharapkan bantuan dan perhatian kita. Apa yang mereka alami sekarang adalah tanggungjawab kita”, katanya.

Ayuh sama-sama bersama Farah Lee menyokong usaha Serantau Muslim untuk membantu rakyat yang sengsara di sana menerusi untukmuyaman.com.