848901
Uncategorized

Kumpulan pakar PBB gesa seluruh dunia iktiraf negara Palestin

Sekumpulan pakar daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)baru-baru ini menggesa semua negara supaya mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara, bagi memastikan keamanan di Asia Barat.

Gesaan itu menyusul tidak sampai seminggu selepas Sepanyol, Ireland dan Norway secara rasmi mengiktiraf negara Palestin sehingga mencetuskan kemarahan Israel yang kini dilihat semakin terpinggir susulan tindakan ketenteraannya di Gaza.

Barisan pakar berkenaan termasuk Pelapor Khas PBB mengenai keadaan hak asasi manusia di wilayah Palestin, lapor Berita Harian.

Mereka menegaskan, pengiktirafan kepada negara Palestin adalah pengiktirafan penting terhadap hak asasi rakyatnya dan perjuangan mereka untuk mendapatkan kebebasan serta kemerdekaan.

“Ini adalah prasyarat untuk keamanan berkekalan di Palestin dan seluruh Asia Barat – bermula dengan perisytiharan gencatan senjata dengan serta-merta di Gaza dan tiada lagi pencerobohan tentera di Rafah.

“Penyelesaian dua negara kekal sebagai satu-satunya jalan yang dipersetujui antarabangsa ke arah keamanan serta keselamatan kedua-dua Palestin dan Israel, dan jalan keluar daripada kitaran keganasan serta kebencian dari generasi ke generasi,” kata mereka.

Kementerian Luar Israel tidak memberikan respons terhadap permintaan untuk komen berhubung perkara itu, setakat ini.