KRISIS KEMANUSIAAN DI SYRIA MEMBIMBANGKAN, ERDOGEN ADAKAN SIDANG KEMUNCAK
DAMSYIK, 24 Feb – Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan akan bertemu pemimpin Rusia, Perancis dan Jerman bulan depan untuk membincangkan situasi yang sedang berlaku di barat laut Syria.
Sejak Disember lalu, hampir sejuta penduduk terpaksa berpindah selepas tentera rejim Presiden Bashar al-Assad yang disokong Rusia meningkatkan operasi menyasarkan kubu terakhir kumpulan pemberontak di wilayah Idlib dan Aleppo.
Kenyataan Erdogan dibuat semalam selepas Kementerian Pertahanan Turki memaklumkan seorang lagi tentera negara itu terbunuh dalam serangan bom di Idlib, menjadikan 16 anggota tentera terkorban dalam sebulan.
Meskipun tidak menyatakan di mana rundingan pada 5 Mac akan diadakan, Erdogan memberitahu Turki akan menentukan pelan tindakan atau roadmap untuk Syria.
“Saya menyatakan pendirian kami dengan jelas kepada Moscow dan Berlin,” katanya.
Semalam, Presiden Rusia Vladimir Putin dan Canselor Jerman, Angela Merkel melahirkan kebimbangan mengenai situasi kemanusiaan di Idlib serta menggesa konflik ditamatkan.
Selain itu, Kremlin turut memberitahu akan membincangkan kemungkinan untuk mengadakan sidang kemuncak empat hala.
Sumber: Sinar Harian