Kereta kebal Israeli ‘bersihkan’ utara, selatan Gaza bagi penduduk Yahudi
Sekurang-kurangnya enam rakyat Palestin terbunuh dan beberapa rumah musnah selepas tentera Israel memasuki kejiranan Shejaia di utara Gaza dan wilayah barat serta tengah Rafah di Selatan.
Menurut laporan Berita Harian, kereta kebal Israel melepaskan tembakan ke arah beberapa rumah, menyebabkan keluarga terperangkap di dalam dan tidak dapat keluar.
Difahamkan, tindakan itu adalah bagi memastikan kawasan itu selamat sebelum membenarkan penduduk Yahudi yang diarahkan berpindah kerana perang, kembali ke kawasan berkenaan.
Bercakap pada mesyuarat mingguan Kabinet, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengulangi pendiriannya bahawa tiada alternatif selain memenangi perang menentang kumpulan Hamas.
“Kami komited untuk berjuang sehingga mencapai semua objektif iaitu menghapuskan Hamas dan mengembalikan semula semua tebusan.
“kami juga mahu memastikan Gaza tidak lagi menjadi ancaman kepada Israel dan mengembalikan penduduk dengan selamat ke rumah mereka di selatan dan utara,” katanya.
Sementara itu, dalam serangan terbaharu yang tertumpu di Gaza, Hamas mengenal pasti salah seorang mangsa adalah komander kanannya.
Tentera Israel mengesahkan pihaknya menyasarkan ‘pengganas yang dikehendaki’, dalam serangan yang menyebabkan seorang terbunuh dan lima yang lain cedera dalam serangan Israel berhampiran bandar Tulkarm.
Agensi berita rasmi Palestin, Wafa, mengenal pasti lelaki yang terbunuh itu sebagai Saeed Izzat Jaber, 24.
Katanya, serangan itu dilakukan menggunakan dron yang menyasarkan sebuah rumah di kem pelarian Nur Shams, berhampiran bandar Tulkarm di utara Tebing Barat.
Tentera Israel berkata pasukan yang beroperasi di Shejaia membunuh beberapa lelaki bersenjata Palestin dan menemui infrastruktur ketenteraan di dalam sekolah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta puluhan senjata dan ‘dokumen risikan berharga’.
Dalam serbuan lain di Shejaia, mereka menemui ‘bilik perang pengganas’ di sebuah klinik dan menuduh Hamas menggunakan infrastruktur awam untuk tujuan keganasan.
Hamas menafikan dakwaan bahawa pihaknya menggunakan tapak awam seperti sekolah dan hospital untuk tujuan ketenteraan atau menjadikan penduduk palestin sebagai ‘perisai perang’.
Sayap bersenjata Hamas dan Jihad Islam melaporkan pertempuran sengit di Shejaia dan Rafah dengan pejuang mereka melepaskan roket anti kereta kebal dan bom mortar terhadap tentera Israel yang beroperasi di sana.