ADVOKASIKenyataan Media

KENYATAAN MEDIA 13 MAC 2019

SERANTAU MUSLIM SERU PIHAK BERKUASA MENGENAKAN TINDAKAN KERAS TERHADAP INDIVIDU YANG MEMBUANG SISA KIMIA KE DALAM SUNGAI KIM KIM, PASIR GUDANG DAN GESA PASUKAN PENYELAMAT MEMBAWA PENDUDUK TERJEJAS KE KAWASAN YANG LEBIH SELAMAT

SERANTAU MUSLIM (SM) melahirkan rasa simpati di atas kejadian yang menimpa kanak-kanak, pelajar sekolah dan orang awam di sekitar Pasir Gudang dan Masai, Johor kerana terpaksa menghidu bahan kimia yang dibuang oleh individu yang tidak bertanggungjawab di sebatang sungai yang dikenali sebagai Sungai Kim Kim. Kejadian yang kurang seminggu itu telah memberi mudarat kepada lebih 300 orang mangsa terutama dalam kalangan pelajar dari beberapa sekolah berhampiran Sungai Kim Kim tersebut.
 
SM merasa sedih melihat keadaan pelajar yang tular melalui Viral Media Johor yang mana mereka terpaksa dibawa ke hospital akibat terhidu bahan kimia ini. Para pelajar dilihat berdaya kerana mengalami muntah-muntah, pening dan rasa loya.
 
SM juga difahamkan keadaan hospital yang berdekatan menjadi sesak kerana ambulans tidak henti-henti membawa mangsa baru untuk mendapatkan rawatan segera pada setiap masa. Tidak habis dengan itu, ibu bapa di kawasan tersebut terpaksa terkejar-kejar membawa pulang anak-anak mereka ke rumah dan menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk.
 
Dalam masa yang sama, SM merasa kejadian ini amat serius kerana bahan kimia yang dilepaskan adalah sejenis racun yang boleh menyebabkan kegagalan fungsi buah pinggang dan kematian.  Menurut Dr. Rosli Abd Jalil, Occupational Health Doctor, kegagalan buah pinggang boleh terjadi akibat menghidu gas seperti Benzene @ Hydrocarbon, Kerosene Vapours, Sevoflurance, Cyanide secara berlebihan.
 
Justeru, SM mencadangkan agar pihak berkuasa mengistiharkan perintah berkurung dan membawa kesemua penduduk terjejas ke daerah yang selamat. Selain itu, SM bersedia membantu mangsa terjejas dengan menyediakan kit kesihatan seperti topeng muka dan pencuci tangan (hand sanitizer).
 
‘Persaudaraan Rentas Sempadan’
 
Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob
Pengerusi
Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim