KANAK-KANAK PEREMPUAN DIJUAL UNTUK DIKAHWINKAN AKIBAT KEBULURAN
QALA-I-NAW: Fahima sudah menangis berulang kali sejak suaminya menjual dua anak perempuannya untuk dikahwinkan, sebagai usaha menyelamatkan diri daripada kemarau yang melanda barat Afghanistan.
Tanpa menyedari perjanjian itu, Faristeh yang berusia enam tahun dan Shokriya yang berusia 18 bulan, duduk di sebelah ibu mereka di dalam khemah untuk individu yang hilang tempat tinggal.
“Suami saya maklumkan, jika anak perempuan kami tidak diserahkan, kami semua akan mati kerana tiada makanan.
“Saya rasa bersalah menyerahkan anak perempuan saya untuk mendapatkan wang,” kata Fahima yang menceritakan perkara itu, yang kini terpaksa menjadi pilihan ribuan keluarga Afghanistan.
Anaknya yang berusia enam tahun dijual pada harga AS$3,350 (RM13,900), manakala yang paling muda berharga AS$2,800 (RM11,618).
Jumlah itu dibayar secara ansuran dalam tempoh beberapa tahun sehinggalah tiba masa untuk kedua-dua kanak-kanak itu berpindah ke rumah keluarga baharu mereka, dan bertemu bakal suami yang juga di bawah umur.
Perkahwinan kanak-kanak diamalkan di Afghanistan sejak ratusan tahun lalu, namun peperangan dan kemiskinan akibat bencana alam menyebabkan banyak keluarga memilih untuk menjual anak pada usia yang semakin muda.
Semalam, Program Makanan Sedunia menjangkakan lebih separuh populasi Afghanistan, iaitu sekitar 22.8 juta penduduk, akan berdepan kekurangan bekalan makanan yang kritikal bermula bulan depan.
Di Qala-i-Naw, iaitu pusat wilayah Badghis yang menjadi antara kawasan paling teruk terjejas dengan kemarau, masih terdapat rasa malu dan sedih dengan situasi itu.
Pemimpin kampung dan kem bagi individu yang hilang tempat tinggal memaklumkan, jumlah gadis muda yang mengikat tali pertunangan mula meningkat sejak kebuluran pada 2018, dan melonjak tahun ini akibat kemarau.
Sumber: Berita Harian