kanakgaza_1717504937
Uncategorized

Kanak-kanak Palestin tak makan sepanjang hari, ribuan kongsi satu tandas di Gaza

Peperangan Gaza yang berlarutan sejak Oktober tahun lalu meletakkan rakyat Palestin terus hidup dalam keadaan mengerikan dengan kanak-kanak bertahan tanpa makanan sepanjang hari dan ribuan berkongsi tandas sama.

Menurut Berita Harian yang dipetik dari kumpulan hak asasi, Oxfam, pengeboman dan pertempuran dilaporkan di Rafah, selatan Gaza berhampiran sempadan Mesir dalam beberapa minggu kebelakangan ini, sekali lagi menyebabkan mereka yang melarikan diri ke sana untuk mencari perlindungan terpaksa meninggalkan kawasan itu.

Lebih satu juta orang telah melarikan diri dari Rafah ke kawasan lain, menurut agensi pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA).

Oxfam berkata lebih dua pertiga penduduk Gaza dianggarkan bersesak dalam kawasan kurang daripada satu perlima daripada wilayah yang dikepung.

“Walaupun Israel memberi jaminan sokongan penuh akan diberikan kepada orang yang melarikan diri, Gaza telah dilucutkan bantuan kemanusiaan, ketika kebuluran semakin hampir,” kata agensi bantuan itu.

“Tinjauan makanan oleh agensi bantuan pada Mei mendapati 85 peratus kanak-kanak tidak makan sepanjang hari sekurang-kurangnya sekali dalam tiga hari sebelum tinjauan dijalankan,” katanya.

Sejak tentera Israel melancarkan serangan darat mereka ke atas Rafah pada 6 Mei, purata lapan trak bantuan setiap hari telah masuk, kata Oxfam, memetik angka PBB.

Walaupun ratusan trak makanan komersial dianggarkan masuk setiap hari, barangan tersedia termasuk minuman tenaga, coklat dan biskut yang tidak berkhasiat, dan selalunya sangat mahal, katanya.

“Pada masa kebuluran diisytiharkan, ia sudah terlambat,” kata pengarah Asia Barat dan Afrika Utara Oxfam, Sally Abi Khalil.

Dalam temu bual dengan televisyen Perancis minggu lalu, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menolak dakwaan kebuluran di Gaza, mengatakan segala-galanya telah dilakukan untuk mengelak ia berlaku.

Rakyat Gaza makan 3,200 kalori sehari atau 1,000, lebih daripada keperluan harian, katanya.

Oxfam berkata keluarga di beberapa bahagian di selatan Gaza, seperti kawasan pantai Al-Mawasi, yang ditetapkan sebagai “zon kemanusiaan” oleh tentera Israel, sedang bertahan dengan hampir tiada perkhidmatan air atau sanitasi.

“Keadaan hidup sangat mengerikan sehinggakan di Al-Mawasi, terdapat hanya 121 tandas untuk lebih 500,000 orang atau 4,130 orang terpaksa berkongsi setiap tandas,” kata Oxfam.

Meera, seorang kakitangan Oxfam di Al-Mawasi yang telah dipindahkan tujuh kali sejak Oktober, menyifatkan keadaan di sana sebagai “tidak boleh ditanggung.”

“Tiada akses kepada air bersih, dan orang ramai terpaksa bergantung kepada laut,” katanya.

Isnin lalu, kumbahan membanjiri sebuah kem untuk pelarian di Khan Yunis selepas paip air sisa pecah, kata seorang wartawan AFP, dengan beberapa orang cuba mengeluarkan kotoran dari khemah mereka menggunakan botol plastik.

Peperangan itu dicetuskan oleh serangan Hamas pada 7 Oktober yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke atas Israel, yang mengakibatkan kematian 1,194 orang

Serangan balas Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 36,550 orang di Gaza, juga kebanyakan orang awam, menurut kementerian kesihatan wilayah terkepung itu.