WhatsApp Image 2024-05-06 at 3.58.46 PM
Uncategorized

Kanak-kanak di Gaza alami ‘tahap tekanan yang dahsyat’ – UNRWA

Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Pelarian Palestin (UNRWA) memberi amaran terhadap ‘korban’ psikologi yang dihadapi kanak-kanak di Semenanjung Gaza akibat serangan berterusan Israel ke atas kawasan yang dikepung itu.

“Kanak-kanak di Gaza mengalami tahap tekanan yang teruk.

“Pasukan UNRWA sedang bekerjasama dengan kanak-kanak dan remaja untuk mengurangkan kesan kengerian perang, kaunselor kami menawarkan harapan dan keselesaan kepada mereka, lapor Berita Harian.

UNRWA mendesak agar gencatan senjata dilaksanakan sekarang.

Sebelum ini, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, berkata Israel sudah pun mengatasi kekejaman pemimpin Nazi, Adolf Hitler apabila membunuh lebih 14,000 kanak-kanak tidak berdosa di Gaza.

Katanya, dengan sokongan tanpa syarat dari Barat, Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai yang menjadi tanda memalukan dalam sejarah manusia, baik di Gaza dan Tebing Barat, kata Erdogan pada mesyuarat kumpulan Parti Keadilan dan Pembangunan (AK) di Parlimen Turkiye.

“Tiada siapa yang boleh mempersoalkan sensitiviti Turkiye terhadap isu Palestin, perjuangan Palestin memberi makna baharu dalam hidup saya.

“Selagi Tuhan memberi saya nyawa, saya akan terus mempertahankan perjuangan Palestin dan akan menjadi suara rakyat Palestin yang tertindas,” katanya.

Israel melancarkan serangan ketenteraan ke atas Gaza sejak pencerobohan Hamas 7 Oktober lalu yang membunuh kira-kira 1,200 orang.

Tentera rejim Zionis sudah membunuh lebih 34,600 rakyat Palestin dan mencederakan hampir 78,000 di tengah-tengah kemusnahan besar-besaran dan kekurangan barang keperluan di wilayah Palestin.

Hampir tujuh bulan selepas serangan Israel, kawasan Gaza yang luas berada dalam runtuhan, mendorong 85 peratus penduduk enklaf itu berpindah, selain sekatan yang melumpuhkan terhadap bekalan makanan, air bersih dan ubat-ubatan, menurut PBB.

Israel dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Januari yang mengeluarkan keputusan sementara mengarahkan Tel Aviv mencegah tindakan pembunuhan beramai-ramai dan mengambil langkah untuk menjamin bantuan kemanusiaan diberikan kepada orang awam di Gaza.