Info SemasaKenyataan Media

KANADA DILANDA HUJAN LEBAT TANPA HENTI

OTTAWA: Hujan lebat tanpa henti dilaporkan melanda pantai Pasifik di Kanada semalam, menyebabkan ribuan penduduk terpaksa dipindahkan dan sejumlah pengguna jalan raya terperangkap dalam insiden tanah runtuh.

Media tempatan melaporkan, 275 penduduk terperangkap dalam kenderaan masing-masing di antara dua kawasan tanah runtuh di Lebuh raya 7 berhampiran bandar Agassiz di wilayah British Columbia.

Sejak pagi semalam, banyak insiden tanah runtuh berlaku berhampiran Lillooet dan Haig yang menyebabkan lebih ramai penduduk terkandas.

Di Merritt, kesemua 7,000 penduduknya diarahkan berpindah akibat banjir yang turut menjejaskan loji rawatan air kumbahan, selain menghanyutkan dua jambatan.

Sehubungan itu, pengadang diletakkan bagi menghalang akses ke bandar tersebut.

Menteri Keselamatan Awam British Columbia, Mike Farnworth berkata, pasukan penyelamat dikerah untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap di dalam kenderaan.

Mereka dilaporkan terperangkap selama beberapa jam tanpa makanan atau minuman.

“Banyak mangsa sudah dibawa keluar dari kenderaan mereka menggunakan helikopter dan operasi menyelamat akan diteruskan sehingga keadaan reda,” katanya.

Sementara itu, rakaman video menunjukkan helikopter tentera mendarat di lebuh raya yang dipenuhi lumpur dan sampah sarap untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap. 

Sumber: Utusan