Jurulatih skuad bola sepak Palestin maut serangan bom Israel
Jurulatih skuad bola sepak Olimpik Palestin, Hani Al-Masdar terbunuh dalam serangan udara tentera Israel di Bandar Gaza, lapor akhbar Palestine Chronicle pada Ahad.
Mneurut Sinar Harian, Persatuan Bola Sepak Palestin dalam satu kenyataan di laman rasmi Facebooknya turut memaklumkan berita kematian Hani atau lebih dikenali sebagai Abu al-Abed.
“Presiden Persatuan Bola Sepak Palestin, keluarga Persatuan Bola Sepak Palestin dan seluruh komuniti sukan Palestin meluahkan rasa sedih yang tulus atas pemergian bekas bintang bola sepak dan jurulatih pasukan kebangsaan Olimpik, Hani Al-Masdar (Abu al-Abed).
“Abu al-Abed meninggal dunia disebabkan serangan ke atas Semenanjung Gaza yang memasuki bulan ketiga. Allahyarham kini menyertai keluarga bola sepak dan gerakan sukan Palestin lain yang syahid,” kata kenyataan tersebut.
Menurut Persatuan Palestin, lebih 1,000 ahli belia, sukan dan pergerakan belia terbunuh setakat ini dalam perang Israel di Gaza yang bermula sejak 7 Oktober tahun lalu.
Ketua persatuan tersebut juga mendakwa Israel sengaja menyasarkan kemudahan sukan dan ibu pejabat sukan serta kelab Palestin.
Malah, beberapa stadium bola sepak di Gaza sering menjadi sasaran askar Israel sejak perang tersebut bermula.
Sebelum perang bermula, skuad kebangsaan Palestin sudah menjadi sasaran askar Israel dengan ada yang terbunuh, cedera atau ditahan atas pelbagai tuduhan.