war_1723556458
Info Semasa

Jenayah perang meningkat di Myanmar – Penyiasat PBB

Penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam memberi amaran, jenayah kemanusiaan dan perang yang dilakukan tentera Myanmar ‘meningkat pada kadar yang membimbangkan’, merangkumi penyeksaan sistematik, jenayah rogol secara berkumpulan dan penderaan terhadap kanak-kanak.

Mekanisme Penyiasatan Bebas untuk Myanmar (IIMM) PBB, berkata dalam tempoh enam bulan lalu, lebih tiga juta orang dianggarkan terpaksa meninggalkan kediaman mereka berikutan konflik semakin memuncak di negara itu, lapor Berita Harian.

Menurut laporan itu, mereka sudah mengumpul bukti kukuh yang menunjukkan tahap kekejaman dan kezaliman yang mengerikan di seluruh Myanmar.

“Banyak jenayah dilakukan dengan niat untuk menghukum dan menimbulkan keganasan dalam kalangan orang awam,” kata Ketua IIMM, Nicholas Koumjian.

Dalam laporan tahunannya bagi tempoh 1Julai 2023 hingga 30 Jun 2024, IIMM berkata, konflik di Myanmar meningkat dengan ketara pada ketika itu dengan laporan jenayah yang lebih kerap dan kejam dilakukan di seluruh negara.

Kumpulan penyiasat itu berkata, mereka sudah mengumpul bukti yang jelas berhubung jenayah perang yang lebih intensif dan ganas, termasuk serangan udara ke atas sekolah, bangunan agama dan hospital, tanpa sasaran ketenteraan yang jelas.

Mereka juga memetik kecacatan fizikal terhadap tahanan termasuk pemenggalan kepala dan paparan awam mayat yang cacat dan dicacatkan secara seksual.

Kumpulan penyiasat itu sedang mengkaji pemenjaraan yang menyalahi undang-undang, termasuk penahanan sewenang-wenangnya dan ‘perbicaraan yang jelas tidak adil’ terhadap pihak yang dianggap penentang junta tentera.

“Beribu-ribu orang ditahan dan ramai yang diseksa atau dibunuh dalam tahanan,” kata kumpulan penyiasat itu.