ISR@EL SERANG GAZA LAGI
GAZA: Tentera Israel melancarkan serangan udara ke atas Gaza, malam tadi dengan mendakwa sebagai tindak balas terhadap belon api yang dilancarkan dari kawasan Palestin itu.
Mereka menuduh Hamas atas pelancaran belon itu dan serangan tentera Israel menyasarkan kemudahan milik kumpulan itu yang menguasai Semenanjung Gaza.
“Semalaman, jet-jet tempur Israel menyerang bengkel membuat roket Hamas serta kubu tentera Hamas di Khan Yunis.
“Serangan ini adalah sebagai tindak balas terhadap pelancaran belon api oleh Hamas ke kawasan Israel,” menurut tentera Israel dalam satu kenyataan.
Saksi juga berkata, tentera Israel menembak meriam ke arah bahagian utara Gaza.
Menurut sumber perubatan di kawasan Palestin itu, tiada yang terbunuh dalam serangan itu.
Sebelum ini, anggota bomba Israel berkata, belon api itu menyebabkan tiga kebakaran belukar di kawasan berdekatan Semenanjung Gaza.
Serangan udara pada Isnin itu berlaku selepas enam rakyat Palestin lolos dari penjara Israel.
Sumber: Berita Harian