WhatsApp Image 2024-01-30 at 4.39.39 PM (2)
Uncategorized

Israel tuduh 190 kakitangan PBB sebagai pengganas

Dokumen perisikan Israel mendakwa beberapa kakitangan agensi bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil bahagian dalam penculikan dan pembunuhan ketika serbuan Hamas pada 7 Oktober tahun lalu.

Pendedahan itu menyebabkan sekumpulan negara termasuk Amerika Syarikat (AS) menghentikan dana kepada agensi bantuan berkenaan di Gaza yang masih bergolak dengan perang semakin menghampiri bulan keempat .

Dokumen setebal enam muka surat itu mendakwa kira-kira 190 pekerja Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) terbabit, termasuk guru.

Ia mengandungi nama dan gambar 11 individu yang didakwa.

Menurut laporan Berita Harian, jurucakap PBB, Stephane Dujarric, pihaknya belum menerima salinan dokumen itu secara rasmi.

Palestin menuduh Israel memalsukan maklumat untuk memburukkan UNRWA, yang mengatakan ia sudah memecat beberapa kakitangan dan sedang menyiasat dakwaan itu.

Menurut dokumen itu, salah seorang daripada 11 yang dinamakan adalah kaunselor sekolah yang membantu anak lelakinya menculik seorang wanita ketika penyusupan Hamas, di mana Israel mendakwa 1,200 orang terbunuh dan 253 diculik.

Seorang lagi, pekerja sosial UNRWA, dituduh terbabit secara tidak khusus dalam pemindahan mayat tentera Israel yang terbunuh ke Gaza dan menyelaraskan pergerakan trak pikap yang digunakan oleh penceroboh dan bekalan senjata.

Suspek ketiga warga Palestin dalam dokumen itu dituduh mengambil bahagian dalam amuk di perkampungan sempadan Israel Beeri, di mana sepuluh peratus daripada penduduknya terbunuh.

Suspek keempat dituduh mengambil bahagian dalam serangan ke atas Reim, tapak pangkalan tentera di mana lebih 360 orang maut.

Menteri Luar Israel, Katz berkata Ketua UNRWA Philippe Lazzarini harus meletakkan jawatan.

“Pekerja UNRWA mengambil bahagian dalam pembunuhan beramai-ramai pada 7 Oktober lalu. Lazzarini harus membuat kesimpulan dan meletakkan jawatan,” katanya.

Perdana Menteri Palestin Mohammad Shtayyeh menuduh Israel melakukan ‘serangan politik yang dirancang’ ke atas agensi itu, yang sudah lama menggesa pemulihan dana bantuan.

Dokumen itu ditunjukkan oleh sumber yang tidak dapat dikenal pasti, baik dari segi nama atau kewarganegaraan.

Sumber itu mendakwa bahawa dokumen itu disusun oleh perisikan Israel dan dikongsi dengan AS yang menggantung pembiayaan untuk UNRWA, Jumaat lalu.

Seorang pegawai Israel mendakwa, secara keseluruhan kira-kira 10 peratus kakitangan UNRWA dipercayai mempunyai hubungan yang dengan Hamas dan Jihad Islam. Agensi itu menggaji 13,000 orang di Gaza.

Lebih daripada 10 negara, termasuk penderma utama AS dan Jerman, menghentikan pembiayaan mereka kepada agensi itu.

UNRWA berkata ia tidak akan dapat meneruskan operasi di Gaza dan di seluruh wilayah selepas penghujung Februari jika pembiayaan tidak disambung semula.

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres dijadualkan bertemu dengan penderma utama UNRWA di New York.

Israel sudah lama menuduh UNRWA mengekalkan konflik dengan tidak menggalakkan penempatan semula pelarian dan pada masa lalu pernah mengatakan kakitangan agensi mengambil bahagian dalam serangan bersenjata.

Turut dalam senarai 12 lelaki ialah seorang guru UNRWA yang dituduh melengkapkan diri dengan senjata dan roket anti-kereta kebal.

Seorang lagi guru dituduh merakam gambar tebusan manakala pengurus sebuah kedai di sekolah UNRWA dituduh membuka bilik perang.

“Pertubuhan pengganas secara sinis mengeksploitasi penduduk Semenanjung Gaza dan pertubuhan antarabangsa yang misinya adalah untuk memberikan bantuan… tindakan itu menyebabkan kemudaratan kepada penduduk,” menurut dokumen itu