ISRAEL TERUSKAN SERANG GAZA
BANDAR GAZA – Pesawat tempur Israel memusnahkan sasaran Hamas di Gaza semalaman, kata pihak tentera semalam, walaupun delegasi Qatar menyertai usaha menyelesaikan kemelut selama hampir tiga minggu itu.
Israel mengebom wilayah ditadbir Hamas hampir setiap hari sejak 6 Ogos lalu, bagi membalas alat pembakaran melalui udara serta beberapa roket yang dilancarkan merentasi sempadan.
Bom api itu yang dipasang pada belon, kondom atau beg plastik, mencetuskan beberapa insiden kebakaran di selatan Israel, yang menyebabkan kemusnahan ketara pada tanaman.
“Pada waktu siang, letupan dan belon pembakaran dilancarkan dari Gaza memasuki Israel.
“Sebagai tindak balas, jet pejuang dan pesawat lain menyerang infrastruktur bawah tanah milik pengganas Hamas di selatan Gaza,” kata tentera Israel.
Belon api itu dilihat sebagai cubaan oleh Hamas untuk meningkatkan terma gencatan senjata tidak rasmi, yang mana Israel bersetuju melonggarkan sekatan di sempadan berusia 13 tahun jika sempadannya tidak diganggu.
Namun, setakat ini, tindak balas Israel adalah mengetatkan sekatan dengan melarang nelayan Gaza pergi ke laut dan menghalang barangan merentasi sempadan, menyebabkan penutupan satu-satunya loji tenaga Gaza yang memerlukan bahan api.
Perwakilan Mesir berulang kali pergi ke kedua-dua pihak bagi memperbaharui gencatan senjata, dan kelmarin, perutusan Gaza, Mohammed el-Emadi memasuki wilayah itu bagi menyertai usaha berkenaan.
Beliau bergerak menuju ke Tel Aviv semalam dan berbincang dengan beberapa wakil Israel, kata beberapa sumber di Gaza.
Sumber yang rapat dengan delegasi Qatar berkata, Israel memberitahu Mohammed, mereka sedia untuk membenarkan penghantaran bahan api bagi membolehkan loji tenaga itu kembali beroperasi serta melonggarkan sekatan jika serangan bom api dihentikan.
Sumber: Berita Harian