WhatsApp Image 2024-03-20 at 10.58.04 AM
Uncategorized

Israel sengaja sekat bantuan ke Gaza – Oxfam

Badan amal pembasmi kemiskinan, Jawatankuasa Oxford bagi Bantuan Kebuluran atau Oxfam, menuduh Israel sengaja menghalang penghantaran bantuan ke Gaza, sekali gus melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu, dalam laporannya berkata, Israel secara sistematik dan sengaja menyekat serta melemahkan sebarang usaha kemanusiaan antarabangsa di wilayah Palestin.

Ia mendakwa bahawa Israel mengingkari perintah Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) Januari lalu untuk meningkatkan bantuan di Gaza dan gagal menjalankan tanggungjawab undang-undang bagi melindungi penduduk Palestin di tanah yang didudukinya.

Pengarah Oxfam Asia Barat dan Afrika Utara, Sally Abi Khalil berkata, perintah ICJ sepatutnya menyedarkan pemimpin Israel untuk mengubah haluan, namun sejak itu keadaan di Gaza bertambah buruk, lapor Berita Harian.

“Pihak berkuasa Israel bukan sahaja gagal memudahkan usaha bantuan antarabangsa tetapi secara aktif menghalangnya.

“Kami percaya bahawa Israel gagal mengambil semua langkah dalam kuasanya untuk mencegah pembunuhan beramai-ramai,” katanya.

Oxfam berkata peraturan pemeriksaan yang tidak wajar secara tidak cekap menyebabkan trak bantuan yang cuba masuk ke Gaza terperangkap selama 20 hari secara purata.

Ia berkata bahawa pihak berkuasa Israel dengan sewenang-wenangnya menolak barangan ‘dwi-guna’, barangan awam yang turut mempunyai potensi kegunaan ketenteraan seperti penjana tenaga sementara dan lampu suluh.

“Senarai barang yang ditolak sangat banyak dan sentiasa berubah,” kata Oxfam.

Kumpulan itu juga mengecam serangan ke atas pekerja bantuan, kemudahan kemanusiaan dan konvoi bantuan serta ‘sekatan akses’ untuk kakitangan bantuan, khususnya ke utara Gaza.

Oxfam menyatakan, sebanyak 2,874 trak memasuki Gaza pada Februari lalu, mewakili 20 peratus daripada purata harian sebelum konflik Asia Barat yang paling dahsyat tercetus pada 7 Oktober lalu, menyusuli serangan Hamas terhadap Israel.

“Keadaan yang kami perhatikan di Gaza adalah melampaui tahap malapetaka,” kata Oxfam dalam laporannya.