Israel ‘panas’ dengan restoran 7 Oktober
Pembukaan sebuah restoran dinamakan ‘7 Oktober’ di Jordan telah mencetuskan kemarahan Israel kerana didakwa seakan-akan memperingati tarikh pejuang Hamas melancarkan Operasi Taufan al-Aqsa.
Rakaman premis perniagaan di bandar Kerak yang menyediakan menu seperti shawarma dan piza itu turut menjadi tular di media sosial setelah ia dipromosikan oleh laman berita tempatan, Khaberni.
Menerusi laporan Sinar Harian, pemimpin ekstremis dan media Israel berasa ‘tersinggung’ sedangkan ia sebenarnya tiada kena mengena langsung dengan tarikh konflik bersama Hamas tercetus.
Dalam pada itu, bekas Perdana Menteri, Yair Lapid menerusi platform X menyatakan pembukaan restoran berkenaan perlu dihentikan.
“Tindakan mengagungkan tarikh 7 Oktober perlu dihentikan” – Lapid
Beliau juga menggesa Amman mengecam perkara itu secara terbuka.
Bagi menjawab persoalan banyak pihak, pemilik restoran itu yang dikenali sebagai Sarayrah menjelaskan ia dinamakan sempena tarikh anak perempuannya tamat pengajian universiti di Algeria.
“Tel Aviv adalah negara yang rapuh lemah kerana boleh berasa tergugat dengan isu remeh sedemikian” – pemilik restoran.