ISRAEL LANCAR SATELIT PENGINTIP
BAITULMAQDIS: Israel melancarkan aset pertahanan terbaharu iaitu satelit pengintip yang akan digunakan untuk melawan musuhnya, Iran semalam.
Kementerian Pertahanannya, dalam satu kenyataan berkata pihaknya dan Industri Aeroangkasa Israel berjaya melancarkan satelit pengintipan ‘Ofek 16’ pada jam 4 pagi waktu tempatan.
“Satelit pengintipan elektro-optik dengan teknologi tinggi ini akan melalui pelbagai siri ujian,” katanya.
Menteri Pertahanan dan Perdana Menteri Alternatif, Benny Gantz, memuji perkembangan itu.
“Kejayaan pelancaran satelit ‘Ofek 16’ ini adalah satu lagi pencapaian luar biasa bagi sektor pertahanan Israel.
“Keunggulan teknologi dan kemampuan kepintaran sangat penting untuk keamanan Israel, kita akan terus memperkuat dan mempertahankan kemampuan Israel di setiap bidang, di setiap tempat,” katanya.
Namun, tidak ada maklumat lebih lanjut mengenai misi satelit itu, tetapi radio awam Israel menyatakan ia akan digunakan untuk memantau kegiatan nuklear Iran.
Israel berikrar untuk mencegah musuh dari memperoleh senjata atom manakala republik Islam itu menafikan program nuklearnya mempunyai dimensi ketenteraan.
Sumber: Berita Harian