WhatsApp Image 2024-02-21 at 11.37.22 AM
Uncategorized

Israel hadkan kunjungan ke Masjid Al-Aqsa Ramadan ini

Israel akan mengehadkan individu yang boleh memasuki pekarangan Masjid Al-Aqsa, Ramadan ini dengan alasan atas faktor keselamatan.

Pejabat Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu memaklumkan Perdana Menteri membuat keputusan seimbang untuk membenarkan kebebasan beribadat dalam keperluan keselamatan yang ditentukan oleh pihak profesional, lapor Berita Harian.

Namun tiada butiran lanjut diberikan pihak mereka.

Kumpulan pejuang Hamas iaitu musuh utama Israel dalam perang Gaza, mengecam sekatan yang dicadangkan, malah Majlis Islam Tertinggi Palestin meminta semua umat Islam untuk terus mengunjungi Al-Aqsa.

Al-Aqsa antara tapak paling suci di dunia untuk umat Islam dan terletak di puncak bukit di Kota Lama Baitulmaqdis di kawasan yang juga dihormati oleh orang Yahudi sebagai tapak kuil mereka pada zaman alkitabiah.

Pada tahun sebelum ini, Israel selalunya mengenakan sekatan khususnya kepada umat Islam lebih muda kononnya bagi menghalang keganasan.

Netanyahu berada di bawah tekanan daripada kedua-dua parti sayap kanan dalam gabungannya yang mahukan sekatan lebih ketat namun negara di rantau ini mendesak untuk mengekalkan status quo.

Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben Gvir, yang mengetuai parti bersuara lantang dalam kerajaan, berkata mereka yang membenci Israel akan menggunakan peluang itu untuk menunjukkan sokongan kepada kepemimpinan Hamas sekali gus menghasut keganasan.

“Kemasukan puluhan ribu orang dalam perayaan di Temple Mount adalah ancaman keselamatan kepada Israel,” katanya.

Sementara itu, Hamas berkata rakyat Palestin harus menolak keputusan jenayah itu dengan menentang keangkuhan dan berdiri teguh mempertahankan kesucian Masjid Al-Aqsa.

Pada April tahun lalu, polis Israel bertempur dengan penduduk Palestin di masjid itu ketika Ramadan.