ISRAEL BAKAL MEMBINA PENEMPATAN HARAM BAHARU
TEL AVIV – Israel dilaporkan akan membina penempatan haram baharu dan menamakannya sempena nama rakan baiknya Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sebagai tanda terima kasih atas layanan beliau terhadap rejim Zionis.
Menurut Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, penempatan baharu itu yang terletak di Bukit Golan akan dinamakan Ramat Trump atau Trump Heights.
“Kami akan memulakan hari ini dengan langkah praktikal untuk membangunkan Trump Heights di Bukit Golan.
“Inisiatif untuk mewujudkan penempatan di kawasan itu dan menamakannya sempena nama Trump sebagai penghargaan di atas tugas yang telah beliau lakukan untuk Israel dan Bukit Golan,” katanya seperti dilaporkan Press TV.
Dikenali sebagai Bruchim buat masa ini, penempatan berusia lebih 30 tahun itu mempunyai populasi yang kecil sekitar 10 orang.
Bagaimanapun, Tel Aviv berharap rancangan baharu itu akan menambah gelombang penduduk setelah kerja-kerja pembinaan dimulakan dalam tempoh tiga minggu lagi.
Difahamkan, Kabinet Israel meluluskan dana berjumlah AS$2.3 juta (RM9.8 juta) untuk mula membangunkan Trump Heights sebagai balasan kerana jutawan hartanah terbabit mengiktiraf kedaulatan Zionis di Bukit Golan pada 25 Mac tahun lalu.