WhatsApp Image 2024-02-20 at 10.03.32 AM
Info Semasa

Israel ancam serang Rafah menjelang Ramadan jika tahanan tidak dibebaskan

Israel memberi ancaman bahawa tenteranya akan menyerang bandar Rafah pada bulan Ramadan sekiranya tebusan yang ditahan oleh pejuang Hamas tidak dibebaskan.

Menteri Kabinet Perang Israel, Benny Gantz, berkata tujuan Israel sangat jelas dan pihak Hamas mempunyai pilihan, lapor Berita Harian yang dipetik dari Agensi Anadolu.

Gantz menyatakan bahawa Hamas mempunyai pilihan. Mereka boleh menyerah diri, membebaskan tebusan dan melalui cara ini rakyat Gaza boleh menyambut Ramadan.

Tentera Israel merancang untuk melancarkan serangan darat di Rafah, menempatkan lebih 1.4 juta penduduk yang mencari perlindungan daripada perang, untuk mengalahkan apa yang disebut oleh Tel Aviv sebagai ‘batalion Hamas’ yang tinggal.

Penduduk Palestin mencari perlindungan di Rafah ketika Israel menggempur seluruh enklaf itu sejak 7 Oktober.

Pengeboman Israel sudah membunuh hampir 29,000 mangsa dan menyebabkan kemusnahan besar-besaran dan kekurangan barang keperluan.

Gantz yang juga bekas Menteri Pertahanan berkata, pencerobohan Rafah akan berlaku dalam penyelarasan dengan ‘rakan kongsi Amerika Syarikat dan Mesir untuk meminimumkan korban awam’,” menurut akhbar The Times of Israel.

“Dunia perlu tahu dan pemimpin Hamas perlu tahu, jika menjelang Ramadan tebusan kita tiada di rumah, pertempuran akan diperluaskan ke kawasan Rafah,” katanya.

Ramadan, bulan paling suci dalam kalendar Islam, dijangka bermula pada 10 Mac.

Hamas dipercayai menahan lebih 130 tebusan Israel susulan serangan rentas sempadannya, yang menurut Tel Aviv membunuh hampir 1,200 orang.

Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dilapor meluluskan sekatan kemasukan penduduk Palestin yang tinggal Israel dan Baitulmaqdis ke Masjid Al-Aqsa iaitu kiblat pertama umat Islam sepanjang Ramadan.

Media tempatan melaporkan, sekatan itu akan mula berkuat kuasa pada minggu kedua bulan depan.

Netanyahu dilaporkan memberikan persetujuannya kepada saranan Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben-Gvir, walaupun agensi keselamatan negara itu, Shin Bet memberi amaran sekatan ke atas akses penduduk Palestin ke Masjid Al-Aqsa ketika Ramadan boleh meningkatkan lagi kemarahan.

“Walaupun Shin Bet memberi amaran mengenai potensi gangguan antara penduduk Palestin di dalam Israel dan polis Israel, Netanyahu bersetuju menerima cadangan daripada Menteri Keselamatan Negara untuk mengehadkan akses umat Palestin ke Masjid Al-Aqsa pada Ramadan akan datang,” lapor Saluran 13.

Pentadbiran Netanyahu akan membuat keputusan rasmi mengenai isu itu dalam tempoh beberapa hari akan datang, dakwa penyiar itu lagi.

“Kemasukan umat Palestin ke Masjid Al-Aqsa pada Ramadan akan dihadkan,” lapor saluran itu, memetik sumber tidak dikenali.

Sejak permulaan perang di Semenanjung Gaza, polis Israel menyekat akses umat Islam Palestin ke Masjid Al-Aqsa, terutama pada hari Jumaat.