WhatsApp Image 2023-11-02 at 10.49.08 AM (1)
Info Semasa

Iran gesa negara Islam henti perdagangan dengan Israel

TEHRAN: Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei hari ini menggesa negara-negara Islam menghentikan perdagangan dengan Israel, termasuk eksport minyak, sebagai tindak balas kepada pengeboman Gaza sejak serangan balas terhadap Hamas.

Israel menyerang Semenanjung Gaza sejak Hamas menyerbu sempadan pada 7 Oktober lalu dan membunuh lebih 1,400 orang dengan kebanyakannya orang awam, menurut pegawai Israel yang dipetik dari sumber, Berita Harian.

Siri pengeboman balas Israel itu membunuh lebih 8,500 orang, iaitu dua pertiga daripadanya wanita dan kanak-kanak, menurut Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Hamas.

“Kerajaan Islam mesti berkeras untuk menamatkan jenayah dengan segera.

“Negara-negara Islam tidak seharusnya bekerjasama dari segi ekonomi dengan rejim Zionis (Israel),” katanya ,” katanya pada perhimpunan pelajar sambil beliau menggesa ‘sekatan eksport minyak dan makanan’.

Dalam pada itu, Khamenei mengecam kerajaan Barat yang ‘menyokong Israel menentang Palestin’ dengan menamakan Britain, Perancis dan Amerika Syarikat (AS).

“Dunia Islam tidak boleh lupa siapa yang memberi tekanan kepada penduduk Gaza. Ia bukan hanya mengenai rejim Zionis,” katanya.

Menteri Pertahanan Iran, Mohammad Reza Ashtiani memberi amaran kepada ‘negara Eropah tertentu yang membantu’ Israel untuk ‘berhati-hati dan tidak menimbulkan kemarahan umat Islam’.

Iran yang menyokong Hamas dari segi kewangan dan ketenteraan, memuji serangan kumpulan pejuang itu ke atas Israel sebagai ‘kejayaan’ namun pada masa sama ia menafikan sebarang pembabitannya.

Presiden Iran, Ebrahim Raisi, berkata adalah tugasnya menyokong kumpulan penentang, tetapi turut menegaskan mereka bertindak secara bebas.

Rumah Putih menuduh Iran ‘secara aktif memudahkan’ serangan ke atas pangkalan tenteranya di Asia Barat.

Jumaat lalu , AS mengumumkan pusingan baharu sekatan yang menyasarkan rangkaian pembiayaan dan sumber sokongan Hamas di Iran.