Impian pasangan Palestin tunai haji musnah akibat perang
Impian pasangan suami isteri di Palestin, Mahmoud dan Fatima Jarghoun, untuk menunaikan ibadah haji di Makkah musnah selepas tiada jalan keluar di Semenanjung Gaza akibat perang di kawasan berkenaan.
Menurut pasangan itu, mereka terpaksa menjual barang kemas bagi membayai kos untuk menunaikan haji, bagaimanapun tidak kesampaian, lapor Berita Harian.
“Kami seperti tinggal di dalam penjara. Di sempadan Rafah, tiada jalan masuk mahupun jalan keluar,” kata Mahmoud, 67, merujuk kepada sempadan ke Mesir yang ditutup sejak Israel melakukan serangan ke atas Gaza pada Mei lalu.
Menurut Fatima, 65, dia begitu kecewa kerana tidak dapat menunaikan haji, ditambah pula dengan penderitaan akibat perang di Gaza.
“Kami kehilangan rumah dan memerlukan kira-kira AS$20,000 (RM52,000) bagi kos baik pulih.
“Selepas itu, berlaku penutupan sempadan dan kami tidak boleh menunaikan haji di Makkah.
“Peperangan, kehancuran dan pengepungan ditambah pula sekatan tidak dapat menunaikan haji adalah sangat mengecewakan kami,” katanya.
Rakyat Palestin kebiasaannya menunggu giliran mereka selama bertahun-tahun selepas mendaftarkan nama mereka dengan pihak berkuasa Palestin bagi menunai haji.
Fatima berkata, mereka telah menunggu hampir 18 tahun untuk menunaikan haji di Makkah.
Menurutnya, dia dan suami telah menjual segala harta benda supaya dapat melaksanakan ibadah berkenaan.
Katanya, dia dan suaminya begitu gembira apabila nama mereka diluluskan untuk menunaikan haji kali ini tetapi akhirnya semua impian mereka musnah.
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, lebih 37,000 orang di Gaza terkorban akibat serangan Israel di Palestin.
Kita sama-sama doakan agar kehidupan rakyat Palestin akan membaik dan dipermudahkan segala urusan mereka untuk mencapai apa yang dihajati. Aamiin