Info SemasaKenyataan Media

IMAM TERKENAL MAUT SERANGAN DI MASJID KABUL

KABUL – Dua maut, termasuk seorang imam terkenal dalam serangan bom di Masjid Wazir Akbar Khan, yang popular dalam zon hijau di bandar ini, kelmarin.

Serangan terbaharu di ibu kota Afghanistan berlaku selepas tujuh orang awam terbunuh di utara negara itu pada Isnin, dalam satu letupan bom di tepi jalan yang didakwa dilakukan pemberontak Taliban.

Setakat ini, belum ada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab melakukan serangan terhadap masjid itu, yang turut dikecam oleh jurucakap Taliban di Twitter.

Letupan kuat, yang berlaku di sebahagian ruang ibadat masjid yang paling terkenal di bandar ini, sekali gus mewujudkan kejutan termasuk pejabat kedutaan dan syarikat antarabangsa sehingga memaksa kakitangan masing-masing mendapatkan perlindungan di bilik selamat.

“Sayangnya, malam ini beberapa bahan letupan yang diletak oleh pengganas di masjid Wazir Akbar Khan meletup,” kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Tareq Arian.

Masjid Wazir Akbar Khan yang terletak di tengah-tengah bandar Kabul, berdekatan pintu masuk ke zon hijau dan sering menjadi tumpuan pemimpin tempatan dan luar negara menunaikan solat di situ.

Imam masjid itu, Ayaz Niazi yang terkenal dengan khutbah berkaitan politik dan mampu menarik orang ramai datang ke masjid, terkorban dalam serangan berkenaan.

Menurut agensi berita Ariana News, serangan itu pada mulanya didakwa dilakukan oleh pengebom berani mati, tetapi sangkaan itu meleset apabila siasatan terperinci dilaksanakan.

Serangan bom itu juga mengakibatkan sekurang-kurangnya dua orang lagi cedera, menurut laporan sebelumnya.

Jurucakap Presiden Ashraf Ghani pula menyebut kejadian itu sebagai serangan keji.

Serangan itu menyusuli pengeboman Sabtu lalu, yang dituntut oleh kumpulan Islamic State terhadap mini bus stesen televisyen di pusat Kabul, yang membunuh seorang wartawan dan pemandu.

Ia juga berlaku setelah pegawai mengatakan bahawa tujuh orang awam terbunuh Isnin lalu, akibat letupan bom tepi jalan yang berkaitan dengan Taliban di utara Afghanistan, walaupun pihak berkuasa mendesak rundingan damai dengan militan.

Sumber: Berita Harian