WhatsApp Image 2022-11-24 at 9.46.34 AM
Info Semasa

Ibu kota Afghanistan dapat 400 pembesar suara baharu untuk menggalakkan solat

KABUL: Beratus-ratus pembesar suara dipasang di ibu negara Afghanistan untuk menggalakkan orang ramai menghadiri solat, menurut penguatkuasa agama Taliban, hari ini.

Kementerian Penggalakan Kebajikan dan Pencegahan Maksiat berkata, ratusan kedai kosong dan bangunan lain yang tidak digunakan baru-baru ini sudah diubah menjadi masjid untuk memberi peluang kepada semua orang untuk solat berjemaah.

“Semasa pemerintahan sebelum ini, beberapa pembesar suara ditanggalkan dan orang ramai tidak dapat mendengar azan.

“400 pembesar suara sudah dipasang di bahagian berlainan di Kabul supaya orang ramai dapat mendengar azan pada masa yang sama,” menurut ciapan kementerian itu.

Sejak kembali berkuasa pada Ogos tahun lalu, Taliban secara beransur-ansur memperkenalkan peraturan ketat yang didakwa mengikut undang-undang syariah Islam.

Wanita antara sebahagian besar golongan yang terhimpit daripada kehidupan awam, dengan kebanyakan pekerja kerajaan wanita kehilangan pekerjaan atau dibayar sedikit untuk tinggal di rumah.

Selain itu, mereka mesti menutup dengan burqa atau tudung apabila keluar dari rumah, dilarang melakukan perjalanan tanpa saudara lelaki dan dilarang melawat taman, gim atau tempat mandi awam.

Malah, sekolah untuk remaja perempuan juga ditutup di seluruh negara.

Awal bulan ini, pemimpin tertinggi, Hibatullah Akhundzada mengarahkan hakim untuk menguatkuasakan sepenuhnya aspek undang-undang Islam termasuk hukuman mati awam, rejam dan sebatan serta pemotongan anggota badan bagi pencuri.

Media tempatan juga melaporkan kementerian mengarahkan kedai-kedai di bahagian tertentu di ibu negara ditutup untuk solat Jumaat. 

Didoakan semoga umat Islam sentiasa dalam lindungan Allah SWT dan dipermudahkan segala urusan.

Sumber: BH