WhatsApp Image 2024-11-21 at 9.56.26 AM
Uncategorized

HARI SOLIDARITI ANTARABANGSA BERSAMA RAKYAT PALESTIN

KENYATAAN MEDIA SERANTAU MUSLIM

Istanbul, 29 November 2024 – Hari ini, dunia bersatu dalam solidariti untuk Palestin, memperingati perjuangan panjang rakyat Palestin yang telah dirampas tanah, hak, dan maruah mereka sejak Resolusi 181 diluluskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 29 November 1947. Resolusi ini, yang pada awalnya dianggap sebagai pelan damai, telah menjadi titik permulaan kepada penderitaan berpanjangan apabila tanah rakyat Palestin dirampas dan penjajahan Zionis semakin kukuh.

Lebih tujuh dekad berlalu, namun luka Palestin masih berdarah. Tragedi berdarah pada 7 Oktober 2023 adalah satu lagi episod gelap apabila Gaza dibedil tanpa belas, ribuan nyawa tidak bersalah terkorban, dan berjuta lagi terus hidup dalam keadaan yang tidak dapat dibayangkan. Sekatan ekonomi, pencerobohan ketenteraan, dan penafian hak asasi manusia yang berterusan menggambarkan kezaliman tanpa henti terhadap rakyat Palestin.

Namun, tahun ini, dunia mula melihat sinar perubahan. Waran tangkap antarabangsa terhadap pemimpin rejim Zionis adalah isyarat bahawa komuniti antarabangsa semakin tegas dalam menuntut keadilan. Malaysia pula berada di barisan hadapan perjuangan ini, dengan usaha diplomatik yang luar biasa, termasuk mengusulkan agar Israel dikeluarkan daripada keanggotaan Perhimpunan Agung PBB (UNGA) atas jenayah perang yang tidak berkesudahan.

Pada hari yang penuh bermakna ini, saya bersama Setiausaha Serantau Muslim, Saudara Muhammad Faeez Azahar, berada di Istanbul untuk menyertai World Humanitarian Summit: Gaza The Day After. Persidangan ini mempertemukan pemimpin dan aktivis kemanusiaan dari seluruh dunia untuk merancang masa depan Gaza yang telah dihancurkan. Ini adalah bukti bahawa solidariti global terhadap Palestin semakin kuat, dan suara rakyat Palestin tidak lagi boleh disenyapkan.

Kami menyeru kepada seluruh umat manusia: Palestin memerlukan lebih daripada simpati. Palestin memerlukan tindakan! Tindakan untuk menamatkan sekatan kejam, menghentikan penjajahan haram, dan memastikan pelaku jenayah perang diadili. Ini adalah tanggungjawab kita semua, bukan hanya kerana Palestin adalah isu keagamaan, tetapi kerana Palestin adalah simbol perjuangan menentang kezaliman dan ketidakadilan di dunia ini.

Hari Solidariti Antarabangsa ini adalah detik untuk memperbaharui azam kita – azam untuk berdiri teguh bersama Palestin sehingga tanah suci itu kembali kepada pemiliknya yang sah, dan rakyat Palestin bebas untuk hidup dengan maruah, keamanan, dan keadilan. Perjuangan ini adalah perjuangan bersama, dan kita tidak akan berhenti sehingga Palestin benar-benar MERDEKA!

KAPTEN BERSEKUTU (PA) USTAZ MOHD HAKIM BIN HAJI MOHD NOR
Pengerusi, Serantau Muslim
www.serantaumuslim.com