Hamas sedia terima ‘perjanjian lengkap’ jika Israel hentikan perang
Hamas memberitahu negara pengantara ia tidak akan mengambil bahagian dalam rundingan semasa pencerobohan Israel berterusan tetapi bersedia untuk ‘perjanjian lengkap’ termasuk pertukaran tebusan dan tahanan jika Israel menghentikan perang.
Menurut laporan Berita Harian, rundingan yang dikendalikan oleh Mesir dan Qatar untuk gencatan senjata antara Israel dan pejuang Hamas dalam perang Gaza berulang kali terhenti dengan kedua-dua pihak menyalahkan satu sama lain kerana tiada persetujuan.
Kenyataan terbaru Hamas dibuat ketika Israel meneruskan serangan ke atas bandar Rafah di selatan Gaza, walaupun Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sudah mengarahkan serangan dihentikan.
“Hamas dan pejuang Palestin lain tidak akan meneruskan rundingan (gencatan senjata) memandangkan pencerobohan, pengepungan, kebuluran dan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat kita masih berterusan.
“Hari ini, kami memaklumkan pengantara mengenai pendirian jelas kami bahawa jika Israel menghentikan peperangan dan pencerobohannya terhadap rakyat kami di Gaza, kami sedia untuk ‘perjanjian lengkap’.
“Ini merangkumi perjanjian pertukaran tebusan Israel bagi tahanan Palestin yang komprehensif,” menurut kenyataan Hamas.
Israel sebelum ini menolak tawaran Hamas sebagai tidak mencukupi dan berkata ia bertekad untuk menghapuskan kumpulan Hamas yang berhasrat untuk memusnahkannya.
Pasukan pertahanan Israel (IDF) berkata serangan di Rafah tertumpu pada menyelamatkan tebusan dan menumpaskan pejuang Hamas.
Israel berkata tenteranya telah membunuh 300 pejuang Palestin di bandar itu sejak 6 Mei, apabila ia melancarkan apa yang dipanggil sebagai tekanan untuk menumpaskan pejuang Hamas dan menyelamatkan tebusan.
Lebih 36,000 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara dan darat Israel di seluruh Gaza, dengan 53 daripada mereka terbunuh dalam tempoh 24 jam yang lalu, kata kementerian kesihatan wilayah yang dikendalikan Hamas.
Israel melancarkan serangannya selepas pejuang Hamas menyeberang dari Gaza ke selatan Israel pada 7 Oktober tahun lalu, membunuh 1,200 orang dan menculik lebih 250 tebusan, menurut pengiraan Israel.
Tentera Israel berkata seorang askar terbunuh dalam pertempuran di utara Gaza, menjadikan 292 anggota tentera Israel terkorban sejak pencerobohan darat Gaza yang pertama pada 20 Oktober lalu.
Hampir 36,000 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel di seluruh Gaza, kata Kementerian Kesihatan di bawah Hamas.